Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Autoriti Monetari Brunei Darussalam
Bank Negara Malaysia dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam hari ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk mewujudkan satu rangka kerja kolaborasi ke arah meningkatkan kerjasama dalam pembangunan sektor perkhidmatan kewangan. MoU ini berlandaskan Perjanjian Kerjasama Ekonomi terdahulu antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Brunei Darussalam, yang ditandatangani pada 2 September 2012.
MoU ini merangkumi pengaturan berkaitan dengan penyeliaan perbankan merentas sempadan, pertukaran maklumat, kerjasama dalam bina upaya dan pembangunan modal insan antara kedua-dua buah bank pusat, serta pembangunan dalam bidang kewangan Islam.
MoU ini yang juga menandakan satu lagi pencapaian dalam hubungan ekonomi dan kewangan antara kedua-dua buah negara telah ditandatangani oleh Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Dato Mohd Rosli Sabtu, Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.