Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Bank of Thailand

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1300 pada Khamis, 27 Ogos 2015
27 Ogo 2015 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung dengan pembentukan rangka kerja kerjasama untuk menggalakkan penyelesaian perdagangan dua hala dan pelaburan langsung dalam mata wang tempatan.

Pengaturan ini bertujuan mempertingkat aliran perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dengan Thailand. MoU ini ditandatangani oleh Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Dr. Prasarn Trairatvorakul, Gabenor Bank of Thailand.

MoU ini menunjukkan usaha kedua-dua bank pusat menggalakkan penggunaan ringgit Malaysia dan baht Thailand oleh sektor swasta untuk urusan penyelesaian perdagangan merentas sempadan dan pelaburan langsung. Pengaturan ini akan mengurangkan risiko dedahan terhadap turun naik mata wang penyelesaian global dan untuk mengurangkan kos transaksi kepada sektor perniagaan. 

“Pembentukan rangka kerja ini akan merintis jalan ke arah integrasi kewangan dan ekonomi yang lebih meluas di rantau ASEAN. Pengaturan dua hala ini akan mengukuhkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Thailand serta mendorong hubungan ekonomi yang lebih erat untuk kemajuan rantau ini,” kata Gabenor Zeti daripada Bank Negara Malaysia.

Gabenor Prasarn berkata, “Pengaturan dua hala ini menandakan pencapaian penting bagi menyokong komitmen kedua-dua negara untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam kalangan komuniti ASEAN. Saya percaya pengaturan ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta menggalakkan perkembangan ekonomi dan pelaburan di rantau ini.”

Bank Negara Malaysia
Bank of Thailand
27 Ogos 2015

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Bank Negara Malaysia
Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: (603) 2691 3605
Faks: (603) 2693 6919

Bank of Thailand
International Strategy Division
International Department
Tel: (66) 2283 6468
Faks: (66) 2281 5648


Bank Negara Malaysia
27 Ogos 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?