Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Bank of Thailand

Embargo: Untuk siaran segera
02 Feb 2012 Siaran Akhbar

Siaran Akhbar Bersama Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand

Kuala Lumpur, 2 Februari 2012: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini bersama-sama mengumumkan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengadakan pengaturan cagaran merentas sempadan bagi memudahkan pengaturan kendalian dua hala bersaling (reciprocal bilateral operational arrangements) yang bertujuan untuk meningkatkan kemudahan mudah tunai bagi institusi kewangan di kedua-dua buah negara.

Penandatanganan MoU ini menunjukkan bahawa kedua-dua buah bank pusat memperakui meningkatnya kewujudan perbankan merentas sempadan dan kepentingan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara. Kerjasama ini akan terus menyokong kedua-dua bank pusat dalam memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pengurusan mudah tunai domestik.

Di bawah pengaturan ini, institusi kewangan yang layak yang beroperasi di Malaysia boleh mendapatkan mudah tunai Ringgit Malaysia (MYR) daripada Bank Negara Malaysia dengan memberikan cagaran dalam bentuk Baht Thailand (THB) atau sekuriti hutang Kerajaan Thailand dan sekuriti bank pusat kepada Bank Negara Malaysia. Institusi kewangan yang layak yang beroperasi di Thailand juga boleh mendapatkan mudah tunai THB daripada BOT dengan memberikan cagaran dalam bentuk MYR atau sekutiti Kerajaan Malaysia dan sekuriti bank pusat.

Dr Zeti Akhtar Aziz, Gabenor BNM, berkata "inisiatif ini akan memperkukuh lagi pengurusan mudah tunai merentas sempadan dalam sistem kewangan kita dan memperteguh hubungan kewangan dan ekonomi. Pengaturan ini juga akan menyokong kegiatan serantau institusi kewangan kita yang semakin berkembang dan meningkatkan lagi hubungan kewangan serantau."

Dr Prasarn Trairatvorakul, Gabenor BOT, berkata "Pengaturan cagaran merentas sempadan bersaling ini antara BNM dengan BOT akan menjadi asas kepada kerjasama kewangan dan ekonomi seterusnya. Pengaturan ini juga menandakan pentingnya operasi perbankan merentas sempadan dan peranan kedua-dua bank pusat dalam memudahkannya. Ini merupakan satu lagi langkah penting yang menjadi sebahagian daripada rancangan kita ke arah integrasi serantau dan global seterusnya."

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Bank Negara Malaysia
Unit Media dan Promosi
Jabatan Komunikasi Strategik

Tel: (603) 2692 8592
Faksimile: (603) 2693 6919

Bank of Thailand
Communications and Relations Office
Corporate Communications Department

Tel: (66) 2283 5016
Faksimile: (66) 2281 5648


Bank Negara Malaysia
02 Februari 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?