Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Hong Kong Monetary Authority
Pada hari ini (Khamis), Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority mengumumkan secara bersama penandatanganan satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi penubuhan satu penghubung sistem pembayaran bernilai tinggi antara Malaysia dengan Hong Kong.
Kedua-dua bank pusat ini akan menubuhkan satu penghubung antara sistem penyelesaian kasar masa nyata (RTGS) bagi Ringgit di Malaysia (sistem RENTAS) dengan sistem penyelesaian kasar masa nyata bagi dolar Amerika Syarikat (USD) di Hong Kong (sistem USD RTGS). Penghubung yang dijadualkan siap pada tahun 2006 ini ialah penghubung Pembayaran-dengan-Pembayaran merentas sempadan yang pertama antara dua sistem penyelesaian kasar masa nyata bagi dua mata wang yang berlainan di rantau ini.
Penghubung ini membolehkan pengurangan risiko penyelesaian pertukaran asing menerusi pelaksanaan satu mekanisme Pembayaran-dengan-Pembayaran dalam zon waktu perniagaan Malaysia dan Hong Kong. Di bawah mekanisme ini, serahan satu mata wang dalam satu urus niaga pertukaran asing tertakluk kepada serahan mata wang yang satu lagi dalam urus niaga ini, dan dengan itu akan mengurangkan risiko kegagalan menyerahkan mana-mana mata wang menerusi penyelesaian masa nyata dalam zon waktu yang sama.
Penubuhan penghubung sistem pembayaran antara Bank Negara Malaysia dengan Hong Kong Monetary Authority akan meningkatkan kecekapan dan keselamatan sistem pembayaran di Malaysia dan di rantau ini, khususnya dalam pengurusan pendedahan risiko penyelesaian urus niaga pertukaran asing yang melibatkan USD dan Ringgit Malaysia (USD/MYR). Di samping pengurangan risiko penyelesaian, bank-bank di Malaysia dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dalam menjalankan penyelesaian urus niaga pertukaran asing dan berupaya menyediakan jaminan kepada rakan urus niaga (counterparties) mereka tentang keupayaan mereka menyelesaikan urus niaga ini.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Bank Negara Malaysia
Johari Mesar, Timbalan Pengarah (Sistem Pembayaran) – di talian (603) 26916105
Hong Kong Monetary Authority
Jasmin Fung, Pengurus (Akhbar), di talian (852) 2878 8246 atau Kevin Ip, Pengurus (Akhbar), di talian (852) 2878 1687
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.