Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Monetary Authority of Singapore
Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan pengaturan cagaran merentas sempadan yang bertujuan untuk meningkatkan penyediaan mudah tunai kepada institusi kewangan kedua-dua negara.
Kerjasama ini mencerminkan peranan institusi kewangan yang aktif di rantau ini yang bertambah penting dan kesalinghubungan kewangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan kewangan.
Di bawah pengaturan ini, institusi kewangan yang layak yang beroperasi di Singapura boleh memperoleh mudah tunai dalam Dolar Singapura (SGD) daripada MAS dengan mencagarkan Ringgit Malaysian (MYR) atau sekuriti kerajaan dan sekuriti bank pusat dalam denominasi ringgit dengan MAS. Pada masa yang sama, institusi kewangan yang beroperasi di Malaysia boleh memperoleh mudah tunai dalam MYR daripada BNM dengan mencagarkan SGD atau sekuriti kerajaan dan sekuriti bank pusat dalam denominasi SGD.
Pengaturan ini akan meningkatkan kestabilan monetari dan kewangan kedua-dua negara secara keseluruhan serta keyakinan institusi kewangan dalam menjalankan operasi mereka di kedua-dua pasaran tersebut. Pengaturan ini juga akan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua bank pusat tersebut dalam pengurusan mudah tunai.
Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor, BNM, berkata, "Inisiatif ini akan memudahkan pengurusan mudah tunai yang lebih efektif oleh institusi kewangan kita. Pengaturan ini juga akan mengukuhkan lagi haluan institusi kewangan kita, yang seterusnya akan menyokong potensi ekonomi kedua-dua negara."
Encik Ravi Menon, Pengarah Urusan, MAS, berkata, "Pengaturan merentas sempadan dengan BNM merupakan tambahan penting kepada pengaturan rangkaian dua hala sedia ada antara MAS dengan bank pusat lain. Inisiatif ini akan membantu meningkatkan keyakinan dalam kalangan institusi kewangan yang beroperasi dalam kedua-dua pasaran kita."
*****
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Monetary Authority of Singapore
Encik Lim Keng Soon
Timbalan Pengarah (Komunikasi)
Tel: (65) 6229-8982
Faks: (65) 6227-0705
E-mel: [email protected]
Bank Negara Malaysia
Encik Shariffuddin Khalid
Pengarah
Jabatan Komunikasi Strategik
Tel: (603) 2692 8592
Faks: (603) 2693 6919
E-mel: [email protected]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.