Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi meningkatkan kerjasama

Embargo: Untuk siaran segera
30 Jul 2013 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (Bank) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia  (Suruhanjaya) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini. 

Majlis menandatangani MoU ini menyatakan hasrat Bank dan Suruhanjaya untuk bekerjasama dan berkongsi maklumat dalam bidang-bidang kepentingan bersama bagi pelaksanaan mandat masing-masing yang berkesan.

MoU ini meliputi kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, perumusan undang-undang dan dasar, inisiatif rangkuman kewangan, bina kapasiti dan kerjasama teknikal serta pengaturan kerjasama untuk kestabilan kewangan.

MoU ini juga menggariskan rangka kerja operasi dan penilaian yang akan digunakan oleh Bank dan Suruhanjaya apabila mempertimbangkan permohonan daripada syarikat koperasi untuk menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada orang ramai, selain daripada ahli koperasi sendiri.  Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, syarikat koperasi yang bercadang untuk menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada orang ramai dikehendaki untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Bank dan Suruhanjaya.  Rangka kerja penilaian ini bertujuan untuk memastikan syarikat koperasi yang menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada orang ramai mempunyai kedudukan kewangan yang teguh serta wujud sistem tadbir urus dan pengurusan risiko yang mantap, terutamanya untuk menguruskan risiko mudah tunai dan kredit secara berkesan. Ini perlu bagi menjaga kepentingan pendeposit.

Pengaturan kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa ini juga akan menyokong kerjasama yang lebih baik antara Bank dengan Suruhanjaya dalam usaha memajukan agenda rangkuman kewangan negara. Ini akan menyumbang ke arah menggalakkan pembangunan sektor koperasi yang kukuh dan teratur serta mempertingkat sumbangannya kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

MoU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Nik Ali bin Mat Yunus, Pengerusi Eksekuitf  Suruhanjaya Koperasi Malaysia.  Majlis penandatanganan ini disaksikan oleh YB Dato' Paduka Ahmad Bashah bin Md. Hanipah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

 

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Koperasi Malaysia
30 Julai 2013


Bank Negara Malaysia
30 Julai 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?