Memorandum Persefahaman antara Bank Negara Malaysia dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Bank Negara Malaysia (Bank) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Suruhanjaya) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari ini.
Penandatanganan MoU ini dengan rasminya menyatakan hasrat Bank dan Suruhanjaya untuk menjalinkan usaha sama dan kerjasama dalam bidang yang mempunyai objektif pengawalseliaan yang sama. Ini adalah untuk memudahkan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 secara berkesan, dan objektif yang disasarkan iaitu untuk menggalakkan dan melindungi proses persaingan dan pada masa yang sama memastikan kestabilan sektor kewangan terpelihara secara keseluruhan.
MoU ini menjelaskan bidang usaha sama dan kerjasama antara Bank dengan Suruhanjaya. MoU ini menggariskan rangka kerja bagi rundingan dan penyelesaian isu berhubung dengan rumusan dan cadangan terhadap pindaan undang-undang, garis panduan, peraturan dan instrumen lain yang dikeluarkan oleh Bank dan Suruhanjaya dalam bidang pengawalseliaan yang sama, seperti amalan perniagaan antipersaingan (anti-competitive) yang dilarang dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, serta Akta Persaingan 2010.
MoU ini juga memperincikan dengan lebih jelas tindakan penyiasatan dan penguatkuasaan yang terpakai pada bidang yang mempunyai penguatkuasaan yang sama seperti yang disebut di atas. Kedua-dua Pihak akan saling memaklumi apabila sebarang pelanggaran diketahui dan akan berusaha untuk mencapai persetujuan secara bersama dengan segera berhubung dengan tindakan yang akan diambil. Prinsip persaingan dan kesan terhadap kestabilan kewangan akan diambil kira semasa membuat keputusan mengenai tindakan wajar yang akan diambil.
MoU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia. Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan oleh YB Dato’ Sri Hasan bin Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan YBhg Dato’ Sri Alias bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
5 Jun 2014
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.