Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Bank Pembangunan Islam

Embargo: Untuk siaran segera
30 Jun 2004 Siaran Akhbar

Pada hari ini, Kerajaan Malaysia dan Bank Pembangunan Islam (IDB) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Gabenor Bank Negara Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia, manakala Presiden IDB, Dr. Ahmad Mohamad Ali menandatangani bagi pihak IDB.

Memorandum Persefahaman ini merupakan salah satu inisiatif Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) untuk menetapkan rangka kerja kerjasama di kalangan negara anggota OIC dalam aktiviti ekonomi utama, dengan matlamat untuk meningkatkan peluang bagi pertumbuhan dalam aktiviti ekonomi negara anggota. Memorandum Persefahaman ini bertujuan untuk mengukuhkan kaedah pembiayaan bagi menggalakkan perdagangan, memberi tumpuan baru terhadap pembiayaan perdagangan pelaburan dan perkhidmatan serta memudahkan penggunaan Teknologi Komunikasi Maklumat bagi memperluaskan aktiviti ekonomi intra OIC. Memorandum Persefahaman ini juga menggalakkan pembangunan pasaran kewangan Islam. Fokus Memorandum Persefahaman tersebut adalah untuk menggalakkan rantaian perniagaan dan pergerakan dana bagi pelaburan merentasi sempadan antara pusat kewangan di negara-negara anggota OIC. Dalam bidang kewangan Islam, Memorandum Persefahaman ini juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan Takaful dan Takaful Semula di dalam negara-negara OIC.

Memorandum Persefahaman ini turut mengandungi peruntukan untuk menggalakkan penggunaan instrumen insurans bagi pelaburan dan perdagangan serta menggalakkan negara-negara anggota untuk menerima Perjanjian Perdagangan Bebas.

Memorandum Persefahaman antara IDB dan Malaysia ini melambangkan komitmen untuk mengukuhkan taraf ekonomi negara-negara OIC, terutamanya bagi negara-negara kurang maju. Ia juga menggambarkan komitmen Malaysia untuk terus berusaha ke arah mencapai wawasan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi negara-negara anggota OIC. Keanggotaan bersama dalam IDB dan OIC menjadikan IDB sebagai pentas utama bagi kerjasama yang lebih besar di kalangan negara anggota untuk faedah negara-negara Islam.


Jeddah, Arab Saudi
30 Jun 2004

END


Bank Negara Malaysia
30 Jun 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?