Memperingati 20 tahun Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia menganjurkan majlis makan malam untuk memperingati ulang tahun ke-20 Majlis Penasihat Syariah (MPS) dan juga mengiktiraf sumbangan ahli dan mantan ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam membentuk pembangunan kewangan Islam di Malaysia.
Majlis makan malam ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan dan Duli yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak. Majlis makan malam ini turut dihadiri oleh para sarjana Syariah, pemimpin industri, ahli akademik terkemuka serta wakil-wakil kanan daripada sektor awam.
Pada majlis makan malam tersebut, DYMM Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan sebuah buku ilustrasi yang diterbitkan oleh Bank berjudul "20 Tahun Majlis Penasihat Syariah: Daripada Prinsip kepada Amalan" memaparkan peristiwa penting dan sumbangan MPS sejak 20 tahun sejarah penubuhannya. Buku ini memaparkan perjalanan pembangunan kewangan Islam dan peranan MPS dalam membentuk pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam melalui keputusan Syariah. Peranan MPS adalah penting dalam memastikan pengharmonian Syariah dalam industri kewangan Islam Malaysia dan sekaligus mengekalkan keyakinan orang ramai, dan seterusnya menggalakkan dan merangsang permintaan yang berterusan terhadap kewangan Islam di negara ini. Buku ini juga menampilkan wawancara eksklusif dan kenangan peribadi tokoh utama yang memainkan penting dalam pelbagai peringkat perkembangan MPS.
Selain pelancaran ini, Bank juga mengeluarkan "Piawaian Syariah dan Keperluan Operasi", iaitu kompilasi 12 piawaian Syariah yang akan menjadi panduan industri dalam membangunkan produk berlandaskan Syariah serta "Kompilasi Keputusan Syariah dalam Kewangan Islam (Edisi Ketiga)", merangkumi resolusi Syariah dalam kewangan Islam yang dikeluarkan dan diterbitkan dari 2011-2017. Dua edisi sebelumnya telah diterbitkan pada tahun 2007 dan 2010.
Mengenai MPS
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada bulan Mei 1997 dan mesyuarat pertamanya diadakan pada 8 Julai 1997. Akta Bank Negara Malaysia 2009 memperkukuhkan lagi peranan MPS sebagai pihak berkuasa tertinggi Syariah dalam kewangan Islam di Malaysia. Ahli MPS dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terdiri daripada kalangan pakar Syariah dan pengamal industri. Selama 20 tahun penubuhannya, MPS telah mengeluarkan lebih 500 resolus/keputusan Syariah dan telah menjadi tempat rujukan kepada mahkamah sivil dan penimbang tara mengenai perkara yang berkaitan dengan Syariah. Peranan MPS juga telah memberikan kesan yang positif kepada perkembangan kewangan Islam di Malaysia, terutamanya dalam memelihara kesucian Syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap keputusan Syariah yang telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan perkembangan industri.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.