Memperkasa Komuniti Melalui Celik Kewangan di Karnival Celik Kewangan Sarawak

16 Nov 2024 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia, bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) dan industri kewangan, menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK) di Kuching, Sarawak. Acara ini berlangsung dari 15 hingga 17 November 2024 di Vivacity Megamall dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, bagi pihak Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.

KCK Sarawak menandakan berakhirnya Bulan Celik Kewangan 2024 (Financial Literacy Month 2024, FLM 2024). Sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan FEN telah menjelajahi lebih 90 lokasi dalam satu siri jelajah di seluruh negara dari 1 Oktober hingga 10 November 2024. Siri jelajah ini memberi tumpuan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan mikro, orang asli dan golongan berpendapatan rendah. Sepanjang FLM 2024, FEN menawarkan sumber pendidikan kewangan percuma, demi membantu rakyat Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.

KCK Sarawak dijangka menarik 20,000 pengunjung dan berfungsi sebagai satu pusat sehenti untuk orang awam di Kuching, untuk mendapatkan nasihat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kewangan dan mempelajari tentang trend terkini dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, gerai pameran di KCK Sarawak menyediakan pelbagai sumber. Acara ini juga menampilkan aktiviti interaktif seperti ceramah, cabutan bertuah, Fun Run, pertandingan cosplay celik kewangan dan konsert mini.

Yang Berhormat Datuk Amar Douglas menekankan usaha Kerajaan Sarawak dan BNM untuk menyokong ekonomi digital dan kewangan inklusif, termasuk mempromosikan pembayaran elektronik dan e-dompet, serta menubuhkan akses kepada kemudahan kewangan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk. Beliau memaklumkan bahawa, 'Pasar Serikin, Sarawak kini menjadi pasar sempadan tanpa tunai yang pertama di Malaysia melalui inisiatif oleh BNM bersama Paynet, institusi kewangan dan Pejabat Daerah Bau. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi masyarakat setempat tetapi juga membantu meningkatkan kadar celik kewangan di kalangan komuniti luar bandar di Serikin dan ketersediaan mereka ke arah ekonomi digital.'

Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour menekankan bahawa, 'Penemuan terkini daripada Kajian Keupayaan dan Kemasukan Kewangan Bank Negara Malaysia 2024 menganggarkan bahawa sekitar 92% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital. Memang, perkembangan ini mewujudkan peluang ekonomi baru untuk rakyat, seperti pekerja gig dan perniagaan dalam talian. Walaupun teknologi memudahkan transaksi kewangan, kita mesti tetap berwaspada dan dilengkapi dengan pengetahuan yang mencukupi untuk melindungi keselamatan transaksi kewangan.'

KCK Sarawak juga memperkenalkan Program Pengurusan Kewangan Peribadi untuk Guru-Guru bagi melengkapi guru-guru dengan kemahiran celik kewangan dan pembangunan peribadi dalam meningkatkan keupayaan mereka memberikan pendidikan kewangan di sekolah dengan berkesan. Program Train-The-Trainers ini adalah usaha kolaborasi antara sektor awam dan swasta, serta Kementerian Pendidikan Malaysia. Program perintis ini akan bermula di Sarawak dan akan diperluaskan tahun depan untuk mencapai lebih 5,000 guru di seluruh negara.

Rangkaian Pendidikan Kewangan

16 November 2024

Mengenai Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN)

Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.


Bank Negara Malaysia
16 November 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?