Memperkasakan Keyakinan Kewangan melalui Literasi Kewangan di Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang
- Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang menjadi acara penutup Bulan Literasi Kewangan 2025 dengan aktiviti mesra keluarga dan komuniti.
- Jelajah “Skuad Celik Kewangan” menyantuni lebih 100 lokasi di seluruh negara untuk memperkasakan komuniti dengan pendidikan kewangan yang praktikal.
- BNM melancarkan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya dan Panduan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan untuk memperkukuh keupayaan kewangan rakyat Malaysia.
Bayan Lepas, Pulau Pinang, 15 November 2025 – Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow. Pelancaran ini juga menandakan Bulan Literasi Kewangan 2025 (Financial Literacy Month 2025, FLM2025) akan melabuhkan tirainya. Karnival yang berlangsung dari 14 hingga 16 November di Queensbay Mall ini membawa pendidikan kewangan terus kepada komuniti melalui pameran interaktif, kaunter perkhidmatan, bicara pendidikan, bengkel dan aktiviti mesra keluarga. Lebih 20,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari ini.
KCK Pulau Pinang dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) bersama rakan-rakan organisasinya, mencerminkan usaha bersama untuk memperkukuh tahap celik kewangan bagi semua peringkat umur. Warga Pulau Pinang berpeluang meneroka kemudahan yang praktikal untuk menguruskan hutang, mendalami insurans dan takaful, memahami pelaburan serta kekal selamat ketika menggunakan perkhidmatan kewangan digital.
Dalam ucapan pelancaran beliau, YAB Tuan Chow Kon Yeow menekankan peranan utama literasi kewangan dalam mencapai aspirasi pembangunan Pulau Pinang. “Di Pulau Pinang, kami mempunyai hala tuju yang jelas melalui Visi Penang2030 untuk menjadikan negeri ini maju, makmur dan rakyatnya sejahtera. Namun, pembangunan fizikal dan teknologi semata- mata tidak mencukupi. Keupayaan rakyat Pulau Pinang untuk menguruskan kewangan secara bijak merupakan kunci kepada kemakmuran jangka panjang.”
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour yang menyaksikan pelancaran tersebut menegaskan semula komitmen BNM untuk memperkukuh daya tahan kewangan isi rumah. "Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan, dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan. Atas sebab itu, FEN telah memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030.”
Dalam ucapan beliau, Gabenor BNM turut memperkenalkan dua inisiatif penting:
a) Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just In-Time Financial Education, JITFE):
Program rintis yang dipelopori oleh institusi kewangan untuk menyampaikan pendidikan kewangan yang tepat dan disasarkan sebelum membuat keputusan kewangan yang besar, khususnya apabila merancang untuk mengambil pembiayaan peribadi. Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada golongan belia dan penjawat awam, dan akan dijalankan sepanjang tahun 2026.
b) Panduan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (Medical and Health Insurance/Takaful, MHIT):
Panduan baharu untuk pengguna yang kini boleh diakses melalui laman sesawang FEN (fenetwork.my) disusun untuk membantu rakyat Malaysia memahami produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan serta membuat pilihan berdasarkan maklumat yang mencukupi bagi melindungi kesejahteraan diri dan keluarga. Panduan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai tawaran MHIT dan menyokong keputusan kewangan yang lebih baik.
KCK Pulau Pinang menandakan kemuncak FLM2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada bulan Oktober. Sebagai sebahagian daripada FLM2025, jelajah Skuad Celik Kewangan telah menyantuni lebih 100 lokasi luar bandar dan pinggir bandar, melibatkan ribuan rakyat Malaysia dengan aktiviti praktikal yang disusun untuk memperkukuh pengurusan wang harian dan membina keyakinan kewangan.
Jaringan Pendidikan Kewangan
15 November 2025

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.


