Memperkukuh Kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan Hong Kong Monetary Authority
Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority mengadakan mesyuarat bilateral pada hari ini (Rabu) di Kuala Lumpur untuk membincangkan isu ekonomi dan kewangan dua hala dan bagi mempertimbangkan inisiatif yang menggalakkan perkembangan pasaran kewangan di Malaysia dan Hong Kong.
Susulan perbincangan ini, Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority bersetuju untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama melalui pengaturan kolaboratif bagi mempererat hubungan perdagangan dan pelaburan. Usaha sama ini termasuk, antara lain, perkembangan perniagaan renminbi luar pesisir dan pengantarabangsaan kewangan Islam.
Dalam bidang perniagaan renminbi (RMB), sesi dialog yang diterajui sektor swasta akan diadakan bagi menyokong lebih banyak aktiviti perdagangan dan pelaburan. Sesi ini akan memanfaatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia, Hong Kong dan China yang sedia kukuh dan semakin erat. Selain Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority, institusi kewangan dari Malaysia dan Hong Kong juga akan menyertai inisiatif ini. Mesyuarat pertama akan diadakan di Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.
Kewangan Islam merupakan satu lagi bidang yang dibincangkan. Berlandaskan kerjasama yang sedia ada, dan momentum pelaksanaan Islamic Finance Ordinance1 di Hong Kong, kedua-dua organisasi ini akan mengadakan forum bersama yang diterajui sektor swasta bagi memajukan perkembangan kewangan Islam di Hong Kong. Forum ini dijangka membuka peluang perniagaan baharu dalam kewangan Islam di kedua-dua negara. Mesyuarat pertama forum bersama ini akan diadakan di Hong Kong pada akhir tahun ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Zeti Akhtar Aziz, berkata, “Perbincangan hari ini mencerminkan komitmen Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority ke arah mengeratkan lagi hubungan bilateral yang sedia kukuh. Kami akan bersama-sama berusaha mewujudkan ekosistem yang kondusif yang akan menyokong pengembangan dan pempelbagaian aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Hong Kong.”
Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Encik Norman Chan, berkata, “Saya berbangga kerana dapat mengukuhkan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia berhubung dengan beberapa inisiatif bilateral yang menggalakkan perkembangan pasaran kewangan di Malaysia dan Hong Kong. Saya yakin kerjasama ini akan terus memberikan manfaat dan mewujudkan situasi yang memberikan faedah kepada kedua-dua pihak.”
Bank Negara Malaysia
Hong Kong Monetary Authority
28 Ogos 2013
_____________________________
1Inland Revenue and Stamp Duty Legislation (Alternative Bond Schemes) (Amendment) Ordinance 2013, yang diwartakan pada 19 Julai 2013.

Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Encik Norman Chan, Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama melalui pengaturan kolaboratif bagi menggalakkan perkembangan pasaran kewangan di Malaysia dan Hong Kong.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.