Memperluas Perdagangan dan Pelaburan Rentas Sempadan antara Thailand dengan Malaysia di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Selasa, 14 September 2021
14 Sep 2021 Siaran Akhbar

Siaran Akhbar Bersama

Berdasarkan pengaturan dua hala di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ASEAN Banking Integration Framework, ABIF) antara Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Bank of Thailand (BOT) yang telah dicapai pada bulan April 2019, kini institusi perbankan dari Thailand dan Malaysia dipelawa menyatakan hasrat untuk menjadi Bank ASEAN Berkelayakan (Qualified ASEAN Bank, QAB) di Malaysia dan Thailand. Pengaturan dua hala dan komitmen dalam pengaturan ini membentuk sebahagian daripada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (ASEAN Framework Agreement on Services, AFAS).

QAB dijangka menyokong perdagangan dan pelaburan antara negara ASEAN yang lebih meluas di rantau ini, selaras dengan ASEAN Economic Community Blueprint 2025 yang bertujuan mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan bekerjasama erat. Bagi memastikan kestabilan kewangan di kedua-dua negara ini, calon QAB sama ada bank baharu atau bank sedia ada di negara tuan rumah (host country) perlu mempunyai kedudukan yang kukuh; mempunyai tadbir urus yang baik; mendapat sokongan daripada agensi pengawal selia negara asal (home country) untuk menjadi QAB; serta perlu mematuhi keperluan kehematan negara tuan rumah. Calon QAB yang berjaya akan memperoleh akses pasaran dan fleksibiliti operasi yang diberikan di bawah pengaturan dua hala tersebut.

Pengaturan dua hala ini merupakan peristiwa penting dalam usaha menuju ke arah integrasi kewangan ASEAN yang menjadi sasaran di bawah inisiatif ABIF. Baru-baru ini, BOT dan BNM juga telah melancarkan Jalinan Pembayaran QR Rentas Sempadan antara Malaysia dengan Thailand.

Datuk Nor Shamsiah Yunus, Gabenor BNM berkata, “Pengaturan dua hala ini menandakan pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Thailand, dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai di kedua-dua negara melalui kemudahan perbankan yang lebih baik serta akses kepada produk kewangan secara lebih meluas.”

“Kedua-dua negara ini telah mengambil langkah penting dalam usaha mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan bekerjasama erat, dan kami yakin bahawa pengaturan QAB ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan kegiatan ekonomi yang boleh membantu pemulihan ekonomi di kedua-dua negara dalam keadaan pandemik yang masih berterusan.”

Encik Sethaput Suthiwartnarueput, Gabenor BOT berkata, “Pengaturan QAB dua hala ini menandakan satu lagi peristiwa penting yang dicapai dalam hubungan antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, dan dalam usaha ASEAN memantapkan lagi integrasi sistem kewangan di rantau ini. Pengaturan ini akan menawarkan produk kewangan berkualiti tinggi yang lebih pelbagai bagi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna dengan lebih baik di kedua-dua negara.”

“Kami meletakkan aspirasi supaya pengaturan QAB ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara negara ASEAN tatkala rantau ini giat menerapkan inovasi kewangan yang baharu.”

 

 

Bank Negara Malaysia
Bank of Thailand
14 September 2021

 

 

 



Bank Negara Malaysia
14 September 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?