Mempertingkatkan Penilaian Risiko dan Peluang Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi di Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM), World Bank Group dan United Nations Development Programme Biodiversity Finance Initiative (UNDP BIOFIN) hari ini menerbitkan laporan bertajuk “A LEAP for Nature: Advancing Nature-related Financial Risk and Opportunity Assessment in Malaysia.”
Laporan ini meneliti sejauh mana kebergantungan dan impak aktiviti sektor kewangan terhadap alam semula jadi. Memandangkan kehilangan alam semula jadi menimbulkan risiko kepada sistem kewangan, laporan ini turut mengkaji pendekatan institusi kewangan dan syarikat apabila menilai risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi.
Selain itu, laporan ini juga menggariskan cadangan kepada institusi kewangan, syarikat dan entiti sektor awam untuk memperkukuh ekosistem bagi penilaian risiko berkaitan alam semula jadi. Laporan ini juga menyediakan panduan praktikal untuk membantu institusi mengenal pasti dan menilai kebergantungan, impak, risiko serta peluang berkaitan alam semula jadi.
Secara kolektif, semua usaha ini akan memperkukuh daya tahan sistem kewangan Malaysia serta menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih lestari dan positif terhadap alam semula jadi.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Madelena Mohamed berkata, “Terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk mempertimbangkan aspek alam semula jadi secara lebih sistematik dalam proses pembuatan keputusan yang merangkumi strategi, pengurusan risiko dan peruntukan modal. Seperti yang diketengahkan dalam laporan ini, institusi kewangan dan syarikat boleh mula membina pemahaman yang lebih mendalam mengenai tiga perkara: kebergantungan mereka terhadap alam semula jadi, impak mereka terhadap alam semula jadi, serta risiko dan peluang yang berkaitan dengan kedua-duanya.”
Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green berkata, “Alam semula jadi menyokong kegiatan ekonomi dan kestabilan kewangan, namun nilainya sering tidak diambil kira dalam proses pembuatan keputusan. Seiring dengan kemajuan agenda kelestarian Malaysia, adalah semakin penting untuk memahami kebergantungan serta impak perniagaan terhadap alam semula jadi. Laporan ini menyediakan rangka kerja praktikal bagi membantu institusi mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko serta peluang berkaitan alam, yang akhirnya menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan serta penjanaan pekerjaan yang berkualiti lebih tinggi.”
Timbalan Wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Besian Xhezo berkata, “Alam semula jadi merupakan salah satu aset ekonomi yang paling bernilai bagi Malaysia. Ia menyokong sumber pendapatan, memperkukuh keterjaminan makanan dan air, mengekalkan operasi perniagaan dan rantaian bekalan, serta menyokong daya tahan jangka panjang. Seiring dengan usaha giat Malaysia untuk mencapai aspirasi kelestariannya, pemahaman tentang risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi kini semakin penting bagi memastikan keputusan perniagaan dan kewangan yang mantap. Laporan ini menyediakan titik permulaan yang praktikal bagi syarikat dan institusi kewangan untuk menterjemahkan kesedaran kepada tindakan dan membantu membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan positif terhadap alam semula jadi.”
Laporan boleh dimuat turun di bnm.gov.my/leapfornature.

(Dari kiri ke kanan) Timbalan Wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Besian Xhezo; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Madelena Mohamed; dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green.Bank Negara Malaysia
World Bank Group
United Nations Development Programme Biodiversity Finance Initiative
11 Jun 2026
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.