Menambahkan kesejahteraan kewangan melalui dasar pendidikan kewangan dan dasar perlindungan pengguna
Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Rangkaian Antarabangsa OECD mengenai Pendidikan Kewangan (International Network on Financial Education, INFE) menganjurkan Simposium Global mengenai Kesejahteraan Kewangan peringkat tinggi yang berakhir hari ini di Kuala Lumpur. Simposium dua hari ini dihadiri oleh 230 peserta dari lebih 50 negara, yang terdiri daripada wakil bank pusat, pihak berkuasa pengawalseliaan, kementerian dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi antarabangsa, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Dengan bertemakan “Memanfaatkan momentum dan mengenal pasti hala tuju baharu”, simposium ini bertujuan untuk mengenal pasti dasar dan strategi pendidikan kewangan dan perlidungan pengguna yang inovatif bagi meningkatkan momentum ke arah menambahkan kesejahteraan kewangan dan memajukan inisiatif celik kewangan.
Para peserta berbincang mengenai strategi dasar yang optimum untuk menyepadukan langkah-langkah pendidikan kewangan dan perlindungan pengguna bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan masyarakat.
Pada masa yang sama, pendekatan pendidikan kewangan telah menjadi lebih strategik dan lebih khusus untuk menjangkau khalayak yang disasarkan. Simposium ini membincangan cabaran dan peluang berkaitan dengan pendekatan pendidikan kewangan untuk kumpulan khalayak sasaran yang berbeza, termasuk golong muda, dewasa serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Perbincangan turut mengkaji peranan teknologi dan kesannya terhadap cara program pendidikan dirangka dan disampaikan.
Simposium ini diadakan berturut-turut selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal OECD/INFE ke-4 selesai. Antara hasil simposium ini ialah kerja-kerja untuk merumuskan buku panduan dasar mengenai strategi kebangsaan bagi pendidikan kewangan dan kompetensi teras celik kewangan golongan muda telah disempurnakan serta dua hasil penting yang dicapai dalam bidang celik kewangan semasa di bawah kepimpinan Turki dalam G20.
Berdasarkan saranan yang dikemukakan dalam dokumen-dokumen ini, anggota OECD/INFE dan peserta simposium bersetuju mengenai keperluan untuk terus meningkatkan kajian dan pengumpulan data pendidikan dan kesejahteraan kewangan yang mungkin meliputi kaji selidik dan penilaian merentas sempadan mengenai celik kewangan. Negara anggota juga komited untuk terus berkongsi amalan dan hasil daripada penilaian impak untuk meningkatkan keberkesanan dasar pendidikan kewangan dan perlindungan pengguna. Usaha-usaha sedang diambil dan perbincangan akan diteruskan pada mesyuarat OECD/INFE akan datang di Amsterdam dari 19 - 21 April 2016.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.