Mendapatkan Maklum Balas Orang Ramai bagi Kertas Konsep Mengenai Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga
Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan kertas konsep mengenai Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga (Rangka Kerja) untuk mendapatkan maklum balas orang ramai. Kertas konsep ini bertujuan mendapat maklum balas daripada orang ramai, peserta industri, pengantara insurans dan takaful dan pihak berkepentingan yang berkenaan mengenai cadangan memajukan lagi industri insurans hayat dan takaful keluarga di Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan.
Objektif
Rangka Kerja ini mengandungi inisiatif untuk menyokong tahap penembusan insurans dan takaful yang lebih tinggi seiring dengan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Di bawah Rangka Kerja ini, syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga akan mempunyai fleksibiliti operasi yang lebih luas untuk mendorong inovasi dan produktiviti yang lebih tinggi. Di samping itu, lebih banyak saluran akan diwujudkan untuk menyediakan produk insurans hayat dan takaful keluarga kepada orang ramai. Pada masa yang sama, kepentingan pengguna akan terus digalakkan dengan memelihara manfaat yang diperoleh pemegang polisi, meningkatkan usaha melalui pendidikan pengguna, kualiti perkhidmatan lebih tinggi yang disediakan oleh pengantara insurans dan takaful dan piawaian penzahiran yang lebih tinggi bagi menggalakkan pemerkasaan pengguna yang lebih baik.
Saranan utama
Rangka Kerja ini melaksanakan liberalisasi separa bagi komisen, had bagi perbelanjaan pengurusan dan berkaitan agensi untuk membolehkan persaingan yang lebih cekap, sambil mengukuhkan insentif bagi inovasi produk dan tahap perkhidmatan yang tinggi yang diberikan oleh pengantara syarikat insurans dan pengendali takaful. Kepentingan pengguna akan terus dipelihara melalui perlindungan penting yang akan dilaksanakan di bawah Rangka Kerja ini, khususnya:
- Pengenalan Kadar Peruntukan Minimum untuk produk berkaitan pelaburan yang akan memastikan kadar premium yang khusus yang dibayar oleh pemegang polisi/peserta akan diperuntukkan kepada unit dana pemegang polisi/peserta untuk tujuan pelaburan; dan
- Penzahiran yang lebih baik untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan antara produk dan untuk membantu pengguna memahami dengan lebih mendalam implikasi kewangan apabila membeli sesebuah produk insurans atau takaful.
Rangka kerja ini akan mempercepatkan penghasilan lebih banyak pilihan saluran penyampaian. Ini akan dicapai melalui rasionalisasi struktur insentif antara saluran, sambil memberikan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk perlindungan semata-mata (pure protection products iaitu perlindungan bertempoh, perubatan dan kesihatan dan penyakit kritikal) melalui saluran langsung yang cekap dari segi kos, termasuk di kaunter dan saluran dalam talian. Tambahan lagi, keperluan minimum kewangan dan kelayakan untuk penasihat kewangan akan disemak semula bagi meningkatkan golongan penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful.
Had ke atas kemudahan pembiayaan yang disediakan untuk ejen oleh syarikat insurans dan pengendali takaful akan dimansuhkan bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada syarikat insurans dan takaful bagi menyokong perkembangan profesional ejen, terutamanya ejen baharu. Ini akan disusuli dengan keperluan bagi syarikat insurans dan pengendali takaful untuk meningkatkan amalan profesional pengantaranya secara proaktif dengan memberikan lebih penekanan terhadap kesesuaian produk, kualiti khidmat nasihat dan perkhidmatan, serta produktiviti, dalam membangunkan dan melaksanakan skim imbuhan pengantara.
Bagi memudahkan pelanggan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, product aggregator dalam talian yang khas akan diperkenalkan untuk membantu mereka membuat perbandingan produk perlindungan semata-mata (pure protection products) daripada pelbagai penyedia. Akaun insurans dalam talian juga akan diperkenalkan untuk memberikan akses yang mudah kepada pelanggan untuk mengetahui status polisi mereka. Inisiatif ini akan terus diperkukuh melalui program pendidikan dan kesedaran kewangan yang disasarkan bagi melengkapi pelanggan dengan pengetahuan, kemahiran dan instrumen yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang tepat.
Maklum balas daripada orang ramai dan pelbagai pihak berkepentingan
Orang ramai, peserta industri, pengantara insurans dan takaful dan pihak berkepentingan yang berkenaan digalakkan untuk memberikan maklum balas secara bertulis mengenai kertas konsep ini. Kertas konsep boleh dimuat turun dari laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my. Tarikh akhir penghantaran maklum balas dan komen adalah pada 9 Disember 2013.
Semua maklum balas boleh dihantar kepada [email protected].
Bank Negara Malaysia
8 November 2013
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.