Mendapatkan Maklum Balas Orang Ramai Terhadap Kertas Konsep Mengenai Skim Ombudsman Kewangan

29 Ogo 2014 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (Bank) akan mengeluarkan kertas konsep mengenai Skim Ombudsman Kewangan (Financial Ombudsman Scheme, FOS) untuk maklum balas orang ramai. Kertas konsep ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, peserta industri dan pihak berkepentingan yang berkenaan terhadap cadangan penubuhan FOS untuk memperkukuh saluran bantuan penyelesaian pengguna kewangan, selaras dengan saranan yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia.

Objektif

Sebagai sebahagian daripada usaha Bank untuk menambah baik pengaturan penyelesaian pertikaian bagi pengguna perkhidmatan kewangan, Bank telah merumuskan rangka kerja penubuhan dan operasi FOS di Malaysia. Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act, FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act, IFSA) memperuntukkan kuasa kepada Bank untuk meluluskan FOS bagi memastikan aduan pengguna dikendalikan dengan berkesan dan adil selain menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan.

Sehubungan dengan itu, Biro Pengantaraan Kewangan (Financial Mediation Bureau, FMB) sedia ada, yang pada masa ini beroperasi secara sukarela, akan ditransformasikan menjadi sebuah FOS yang diluluskan mengikut peruntukan di bawah FSA dan IFSA. Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, pengaturan tadbir urus dan operasi FMB akan dipertingkat selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. FMB baharu ini akan meluaskan perkhidmatannya dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2015. Perkhidmatan FOS kepada pengguna perkhidmatan kewangan adalah percuma. 

Saranan utama

Kertas konsep ini menghuraikan secara terperinci aspek utama rangka kerja FOS yang dicadangkan:

  1. Enam prinsip asas FOS yang diterima pakai adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, iaitu kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, kemudahan akses, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keberkesanan;
  2. Pengaturan tadbir urus yang lebih mantap dari segi keanggotaan dalam Lembaga Pengarah, yang hendaklah terdiri daripada ahli lembaga pengarah yang bebas, serta peruntukan untuk penilaian bebas secara berkala ke atas operasi FOS bagi menilai kecekapan dan keberkesanan  operasinya;
  3. Keahlian FOS yang diperluas untuk merangkumi broker insurans dan takaful serta penasihat kewangan, selain institusi berlesen yang sedia ada;
  4. Skop pertikaian dan award yang dikendalikan oleh FOS akan diperluas; dan
  5. Struktur fi lebih baik yang lebih mencerminkan penggunaan perkhidmatan FOS.

Selaras dengan pengaturan semasa yang diterima pakai oleh FMB, penyedia perkhidmatan kewangan akan terus terikat dengan keputusan ombudsman sekiranya keputusan tersebut dipersetujui oleh pengadu. Walau bagaimanapun, pengadu boleh menolak keputusan ombudsman dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan terhadap pertikaian itu.

Maklum balas daripada orang ramai dan pelbagai pihak berkepentingan

Orang ramai, peserta industri dan pihak berkepentingan yang berkenaan digalakkan untuk memberikan maklum balas secara bertulis mengenai kertas konsep ini. Kertas konsep ini boleh dimuat turun dari laman sesawang Bank di www.bnm.gov.my. Tarikh akhir penghantaran maklum balas dan pandangan adalah pada 29 September 2014. Semua maklum balas boleh dihantar ke alamat yang dinyatakan dalam kertas konsep ini atau melalui e mel kepada [email protected].

 


Bank Negara Malaysia
29 Ogos 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?