Mengembangkan Program iTEKAD bagi Meningkatkan Pemerkasaan Sosioekonomi Usahawan Mikro
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini buat pertama kalinya menganjurkan Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD. Majlis ini bertujuan menyediakan platform untuk mengadakan dialog bagi mengukuhkan lagi sinergi dan komitmen terhadap pembangunan sosioekonomi mampan melalui kewangan sosial. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Lebih 300 rakan-rakan pelaksana sedia ada dan bakal rakan pelaksana hadir ke majlis ini. Mereka terdiri daripada institusi kewangan, Majlis Agama Islam Negeri, syarikat korporat, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan.
Inisiatif iTEKAD telah diperkenalkan oleh BNM sewaktu pandemik bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memantapkan pengurusan kewangan dan kepintaran berniaga mereka untuk menjana pendapatan yang mampan. Inisiatif ini juga sejajar dengan teras strategik Pelan Sektor Kewangan 2022 – 2026 bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan.
iTEKAD menggabungkan dana dermawan dan dana komersial dalam bentuk kewangan campuran untuk memberikan latihan berstruktur, modal permulaan dan pembiayaan mikro kepada segmen sasaran. Setakat bulan Mei 2023, lebih 3,000 usahawan mikro telah mendapat manfaat daripada program ini menerusi daya tahan kewangan yang lebih kukuh. Pada masa yang sama, banyak peserta telah mewujudkan peluang pekerjaan serta menyediakan peluang ekonomi dalam komuniti masing-masing.
Sehingga kini, iTEKAD mempunyai 11 institusi kewangan peserta dengan penyertaan dari seluruh negara serta lebih 50 rakan pelaksana. Institusi kewangan peserta terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Agrobank, Bank Simpanan Nasional, RHB Islamic Bank Berhad, AmBank Islamic Berhad, SME Bank, Public Islamic Bank dan Maybank Islamic Berhad. Rakan pelaksana baharu pula termasuk Koperasi Usahawan Serikandi Johor (KUSERI), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan MADCash Sdn. Bhd. Rangkaian pihak berkepentingan yang lebih luas akan meningkatkan pembiayaan, akses kepada pasaran dan pemantauan impak ke arah mempertingkatkan tahap ekonomi usahawan-usahawan mikro di Malaysia. Menjelang akhir tahun ini, institusi kewangan peserta bersama-sama dengan rakan pelaksana masing-masing telah memberikan komitmen untuk mendapatkan penyertaan lebih 4,000 peserta iTEKAD.
Pihak berkepentingan, termasuk badan korporat daripada sektor awam dan swasta, digalakkan menghubungi mana-mana institusi kewangan peserta untuk menyertai inisiatif iTEKAD.
Untuk maklumat lanjut mengenai iTEKAD, sila layari bnm.gov.my/social-finance.
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim menyampaikan ucaptama di Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (tengah) dan Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (keenam dari kiri) bersama rakan usaha sama dan rakan pelaksanaan ITEKAD
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (dua dari kiri), Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim (tengah), Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad bin Maslan (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Senator Saraswathy a /p Kandasami (kanan sekali) beramah mesra dengan salah seorang penerima iTEKAD
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.