Mengukuhkan Kedudukan Kewangan Pekerja Sambilan Melalui Penyelesaian Kewangan yang Inovatif
Bank Negara Malaysia (BNM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC) dan United Nations Capital Development Fund (UNCDF) dengan kerjasama APEC Malaysia 2020 telah melancarkan Cabaran Inovasi Kewangan Ekonomi Jangka Pendek (Financial Innovation Gig Economy Challenge) pada bulan Mac 2020. Cabaran ini merupakan suatu inisiatif yang mempelawa peserta mengemukakan penyelesaian inovatif bagi mengukuhkan kedudukan kewangan pekerja ekonomi sambilan. Cabaran Inovasi Kewangan Ekonomi Jangka Pendek ini dibiayai oleh MetLife Foundation melalui Program i3 (Innovate, Implement and Impact).
Berdasarkan dapatan daripada Bank Dunia, Malaysia mempunyai ekonomi jangka pendek (gig economy) yang sedang berkembang dengan 26 peratus daripada tenaga kerjanya bekerja sendiri atau menjalankan operasi secara bebas. Kebanyakan aktiviti ekonomi ini didorong oleh ekonomi jangka pendek atas permintaan iaitu sebahagian besar pekerjaan diwujudkan melalui perkhidmatan e-panggilan (ride-hailing) dan penghantaran makanan. Waktu kerja yang fleksibel dan autonomi pekerja yang lebih besar merupakan antara ciri ekonomi jangka pendek. Walau bagaimanapun, hubungan antara operator platform dengan pekerjanya yang bersifat jangka pendek dan tidak terikat ini boleh menjadi cabaran kepada pekerja sambilan.
Cabaran ini adalah selari dengan komitmen Malaysia terhadap APEC Finance Ministers’ Process berhubung dengan langkah-langkah pembendungan dan pemulihan berikutan penularan pandemik COVID-19. Usaha ini bertujuan untuk memanfaatkan pendigitalan perniagaan untuk menyokong daya maju perniagaan serta menggalakkan pemulihan ekonomi yang berterusan. Cabaran Inovasi Kewangan Ekonomi Jangka Pendek telah menerima lebih 100 penyertaan dari seluruh dunia. Daripada jumlah itu, sebanyak 10 pasukan telah dipilih untuk menyertai bootcamp dan program inovasi selama lapan minggu dan Malaysia menjadi tapak ujian untuk memperhalus idea-idea baharu ini bagi menambah baik kedudukan kewangan pekerja sambilan di rantau Asia Pasifik.
Sepanjang tempoh program ini, syarikat-syarikat yang menyertai program diberikan pelbagai bantuan sokongan untuk memantapkan lagi penyelesaian mereka termasuk pemahaman tentang ekonomi jangka pendek di Malaysia, instrumen dengan reka bentuk berpusatkan keinsanan (human-centred design tools), akses kepada peserta industri dan bimbingan daripada pakar bidang masing-masing. Pada pusingan akhir, panel juri yang berwibawa telah memilih tiga penyelesaian yang akan menerima sokongan selanjutnya daripada UNCDF. Penyelesaian ini akan diuji dan digunakan oleh pekerja sambilan di Malaysia.
Tiga penyelesaian tersebut ialah PAY:WATCH, Versa dan GetHyred. Ketiga-tiga penyelesaian ini dipilih berdasarkan potensi mereka untuk menambah baik keupayaan bekerja (employability) dan kedudukan kewangan pekerja sambilan, melalui saluran inovatif seperti modul latihan berasaskan aplikasi, penyelesaian kesinambungan pendapatan dan instrumen simpanan yang boleh diakses.
Sebagai finalis, PAY:WATCH, Versa dan GetHyred telah diberikan peluang untuk menunjukkan penyelesaian mereka semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC Secara Maya (APEC Virtual Finance Ministers’ Meeting, AVFMM) pada 25 September 2020. Huraian ringkas mengenai penyelesaian-penyelesaian ini adalah seperti yang berikut:
- PAY:WATCH bekerjasama dengan majikan dan bank untuk memberikan pekerja akses segera kepada upah yang diperoleh, dalam masa nyata, sebelum hari gaji. Dengan memberikan pekerja sambilan akses kepada pembiayaan berkos rendah daripada bank utama yang mempunyai reputasi yang baik, PAY:WATCH mengurangkan kemungkinan pekerja sambilan beralih kepada pemberi pinjaman tak formal.
- Versa merupakan platform pengurusan wang tunai digital yang memberikan pulangan setara dengan Deposit Tetap tetapi dengan mudah tunai yang sama seperti Akaun Simpanan. Platform ini akan membantu pekerja sambilan mendapatkan pulangan yang terbaik daripada wang tunai yang tidak digunakan, dengan cara yang bertanggungjawab, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan mudah tunai mereka.
- GetHyred melancarkan pasaran jangka pendek yang dinamakan “Zass” untuk memadankan pekerja sambilan muda dengan peluang menjana pendapatan. Zass melengkapkan pelbagai platform pembinaan kemahiran yang diwujudkan oleh GetHyred yang menggalakkan pekerja sambilan muda mengasah pelbagai kemahiran dan kepakaran.
APEC 2020 Malaysia
Bank Negara Malaysia
Malaysia Digital Economy Corporation
United Nations Capital Development Fund
2 November 2020
Mengenai APEC Malaysia 2020
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Asia-Pacific Economic Cooperation, APEC) merupakan forum ekonomi serantau yang terdiri daripada 21 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1989. Kerjasama ini dibentuk untuk mengambil manfaat daripada negara-negara Asia Pasifik yang semakin saling bergantung dengan matlamat utama untuk menggalakkan perdagangan bebas dan pembangunan mampan dalam kalangan negara-negara Lingkungan Pasifik.
Malaysia merupa salah satu negara pengasas APEC pada tahun 1989, bersama-sama dengan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat. China; Hong Kong, China; dan Chinese Taipei menyertai APEC pada tahun 1991. Mexico dan Papua New Guinea pula menyusul pada tahun 1993. Chile menyertai APEC pada tahun 1994 dan pada tahun 1998, Peru, Rusia, dan Vietnam pula menyertai kerjasama ini yang menjadikan jumlah keanggotaan sebanyak 21 negara.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada APEC 2020 dengan tema ‘Optimising Human Potential towards a Resilient Future of Shared Prosperity: Pivot. Prioritise. Progress’. Pada peringkat kebangsaan, tiga bidang yang menjadi keutamaan ialah menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan, penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan memacu inovasi yang berterusan.
Mengenai Bank Negara Malaysia (BNM)
Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (dikemas kini pada tahun 2009). BNM telah diberikan mandat untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta memantau sistem pembayaran di Malaysia. BNM mengawasi pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan berdaya tahan, yang menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi.
Sebagai sebahagian daripada mandatnya, BNM komited untuk mengembangkan pengawalseliaan yang mantap untuk inovasi dalam perkhidmatan kewangan, sambil memastikan risiko-risiko yang berkaitan diuruskan dengan baik. Hal ini termasuk memberikan tumpuan pada usaha meningkatkan rangkuman kewangan dalam kalangan pengguna, termasuk ekonomi jangka pendek. Maklumat lanjut mengenai Bank Negara Malaysia dan usaha-usaha pembangunannya boleh didapati di www.bnm.gov.my.
Mengenai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC)
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC) merupakan sebuah agensi Kerajaan di bawah pentadbiran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diberikan tanggungjawab untuk menerajui ekonomi digital Malaysia pada masa akan datang. Agensi ini ditubuhkan pada tahun 1996 untuk mengawasi kemajuan inisiatif MSC Malaysia. Mandat utama MDEC pada hari ini adalah untuk mempercepat pembangunan rakyat Malaysia yang berkemahiran digital, perniagaan yang berkuasa digital dan pelaburan digital di Malaysia. MDEC memberikan tumpuan pada pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif pendigitalan di seluruh negara yang selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Kerajaan dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.
#LetsBuildTogether #DigitalMalaysiaForward
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif Ekonomi Digital MDEC, sila
lawati https://mdec.my/ atau ikut kami di:
Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/
Twitter: @mymdec
Mengenai Yayasan MetLife
Yayasan MetLife komited untuk mengembangkan peluang kepada individu yang berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia. Yayasan MetLife bekerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan (non-profit organisation) dan perusahaan sosial (social enterpises) untuk mewujudkan penyelesaian kekukuhan kewangan dan memperkasakan masyarakat, dan pada masa yang sama kakitangan MetLife menjadi sukarelawan untuk membantu memberikan impak. Yayasan MetLife ditubuhkan pada tahun 1976 bagi menyambung tradisi MetLife yang sekian lama iaitu sumbangan korporat dan penglibatan masyarakat. Sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2019, Yayasan MetLife telah memberikan lebih $860 juta dalam bentuk geran dan $85 juta dalam bentuk pelaburan berkaitan dengan program untuk memberikan kesan yang positif kepada masyarakat tempat MetLife beroperasi. Kerja-kerja Yayasan MetLife berhubung dengan kedudukan kewangan telah menjangkau lebih daripada 13.4 juta individu berpendapatan rendah dan sederhana di 42 buah negara. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Yayasan MetLife, sila lawati metlife.org.
Program i3 (innovate, implement, and impact) oleh Yayasan MetLife telah berjaya dijalankan di Bangladesh, China, Malaysia dan Vietnam untuk mengungkap pandangan yang mendalam mengenai keperluan, aspirasi dan tingkah laku individu yang berpendapatan rendah dan sederhana (low- and moderate-income, LMI) bagi membangunkan dan menyampaikan perkhidmatan kewangan kepada orang ramai. Individu LMI mempunyai pilihan terhad yang mendorong penggunaan perkhidmatan kewangan formal dam seterusnya sukar untuk menguruskan sumber dan aliran wang tunai mereka yang terhad. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program i3 Program, sila layari https://www.i3program.org
Mengenai UNCDF
UN Capital Development Fund (UNCDF) membolehkan kewangan awam dan persendirian diakses oleh golongan kurang berkemampuan di 47 negara paling mundur di dunia. Dengan mandat dan instrumen modalnya, UNCDF menawarkan model kewangan “last-mile” yang membuka ruang sumber awam dan persendirian, terutamanya pada peringkat dalam negeri, Model pembiayaan UNCDF berfungsi melalui dua saluran: rangkuman kewangan yang meluaskan peluang individu, isi rumah dan perniagaan kecil untuk mengambil bahagian dalam ekonomi setempat, melalui penyediaan alat yang diperlukan untuk keluar daripada perangkap kemiskinan dan mengurus kewangan untuk kehidupan mereka; serta melalui paparan cara pelaburan berfokus tempatan - melalui pengagihan fiskal, kewangan perbandaran yang inovatif dan kewangan projek berstruktur - mampu memacu dana awam dan swasta yang menjadi asas pengembangan ekonomi setempat dan pembangunan lestari. Dengan mengukuhkan fungsi kewangan untuk golongan kurang berkemampuan pada peringkat isi rumah, perusahaan kecil dan infrastruktur tempatan, UNCDF menyumbang kepada SDG 1 tentang pembasmian kemiskinan dan SDG 17 tentang cara pelaksanaannya. UNCDF menyumbang kepada beberapa SDG berbeza, iaitu dengan mengenal pasti kesemua segmen pasaran yang mendapat impak transformasi daripada model pembiayaan inovatif yang membantu mencapai last mile serta mengatasi ketiadaan dan ketidaksamaan akses. Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.uncdf.org/
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.