Menyokong usaha pengurangan karbon oleh PKS menerusi Program Penghijauan Rantaian Nilai

09 Nov 2022 Siaran Akhbar

Bersempena dengan Hari Kewangan di COP-27[1], Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan dan rakan kongsi strategik telah melancarkan Program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC).

Matlamat program GVC ini adalah untuk membantu PKS di Malaysia melaksanakan perubahan yang berimpak dan berjangka panjang bagi menghijaukan operasi mereka. Ia dicapai melalui penawaran khidmat nasihat teknikal oleh organisasi yang terlibat[2] serta pembiayaan untuk peralihan daripada Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF)[3]. Program GVC ini menggunakan pendekatan mudah cara campuran yang terdiri daripada latihan teknikal dan diagnosis di premis operasi.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “Malaysia merupakan negara pengeksport. Kebanyakan PKS Malaysia yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global[4] perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dasar oleh rakan perdagangan Malaysia untuk kekal berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat global. Hal ini termasuk menangani pelepasan rantaian nilai supaya seiring dengan sasaran global ke arah Sifar Karbon dan bersedia mematuhi dasar yang mungkin dilaksanakan oleh rakan perdagangan Malaysia. Program GVC merupakan satu langkah dalam usaha membantu PKS melakukan peralihan penting ini.”

Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai GVC, sila hubungi BNMLINK melalui telelink.bnm.gov.my. 

 

Nota Kaki

[1] United Nations Framework Convention on Climate Change Conference of Parties di Mesir. 

[2] Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Pantas Software, Kossan Rubber Industries, Jawatankuasa Kecil 3: Produk dan Inovasi, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim

[3] Maklumat lanjut mengenai dana yang disediakan untuk PKS termasuk LCTF boleh didapati melalui /funds4sme.

[4] PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia, iaitu menyumbang 37.4% daripada KDNK dan 47.8% daripada jumlah guna tenaga.


Bank Negara Malaysia
09 November 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?