Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP Ke-23
Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP (Executives’ Meeting of East Asia-Pacific Central Banks) ke-23 pada 4 Ogos 2018 di Manila, Filipina telah dihadiri 11 anggota bank pusat dan pihak berkuasa monetari[1]. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Gabenor Nestor A. Espenilla, Jr. dari Bangko Sentral ng Pilipinas.
Mesyuarat tahunan Gabenor-Gabenor EMEAP merupakan platform bagi para Gabenor untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan di rantau ini. Pada mesyuarat tahun ini, para Gabenor membincangkan mengenai pergantungan antara ekonomi dunia yang semakin meningkat dan kesannya pada pelaksanaan dasar monetari. Mereka turut membincangkan iktibar yang diperoleh daripada Krisis Kewangan Global. Semasa membincangkan isu-isu tersebut, para Gabenor menegaskan akan pentingnya EMEAP sebagai sebuah platform yang berkesan untuk berkongsi pengalaman dan mengadakan dialog mengenai dasar-dasar.
Pada mesyuarat ini, laporan Mesyuarat Timbalan-Timbalan EMEAP Ke-54 yang diadakan di Singapura pada 24 Mei 2018 telah dibentangkan kepada para Gabenor. Mereka mengambil maklum kemajuan yang dicapai dalam pelbagai projek serta aktiviti EMEAP yang memberikan tumpuan khusus terhadap penyeliaan perbankan, pasaran kewangan, sistem pembayaran dan penyelesaian serta teknologi maklumat.
Gabenor-Gabenor juga berbincang mengenai laporan perkembangan terkini yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kestabilan Monetari dan Kewangan (Monetary and Financial Stability Committee, MFSC) mengenai kaedah pengawasan dan aktiviti penyelidikan.
Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP ke-24 akan diadakan pada tahun 2019.
Bank Negara Malaysia
6 Ogos 2018
[1] Reserve Bank of Australia, People's Bank of China, Hong Kong Monetary Authority, Bank Indonesia, Bank of Japan, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia, Reserve Bank of New Zealand, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, dan Bank of Thailand
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.