Mesyuarat Peringkat Tinggi Pertama antara Malaysia dan Bank Pembangunan Islam

Embargo: Untuk siaran segera
01 Okt 2004 Siaran Akhbar

Pada hari ini perwakilan Kerajaan Malaysia dan Bank Pembangunan Islam (IDB) mengadakan mesyuarat peringkat tinggi pertama mengenai pelaksanaan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani di antara kedua-dua pihak di Jeddah, Saudi Arabia pada 30 Jun 2004 lalu. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Zamani Abdul Ghani, manakala perwakilan IDB diketuai oleh Encik Abdelaziz Khelef, Adviser-in-Charge, Jabatan Pembiayaan Perdagangan dan Pemasaran, IDB.

Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan IDB merupakan satu inisiatif oleh Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) untuk mengadakan rangka-kerja kerjasama di kalangan negara-negara OIC. Matlamat rangka-kerja tersebut adalah untuk meningkatkan peluang pertumbuhan dalam sektor sasaran, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan Islam dan pembangunan Teknologi Komunikasi Maklumat.

Minit persetujuan ditandatangani pada akhir mesyuarat dengan disaksikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dua kali setahun bagi melaksanakan keputusan yang telah dicapai di mesyuarat ini.

Persetujuan yang dicapai pada mesyuarat kali ini menggambarkan hasrat kerjasama antara Malaysia dan IDB. Ia juga menggambarkan persetujuan kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam aktiviti ekonomi utama. Kerjasama yang efektif antara Malaysia dan IDB adalah bertujuan bagi meningkatkan faedah kepada keseluruhan negara-negara OIC.


Bank Negara Malaysia
01 Oktober 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?