Mesyuarat Pertama Dialog Sektor Swasta Malaysia - Hong Kong Mengenai Perniagaan Renminbi Luar Pesisir
Mesyuarat pertama Dialog Sektor Swasta Malaysia - Hong Kong Mengenai Perniagaan Renminbi Luar Pesisir (Dialog) diadakan hari ini di Kuala Lumpur. Dialog ini diadakan sebagai susulan kepada perjanjian antara Bank Negara Malaysia dan Hong Kong Monetary Authority (HKMA) pada bulan Ogos 2013, bagi mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dengan Hong Kong dalam bidang perniagaan renminbi (RMB). Dialog ini dihadiri oleh pegawai kanan dari sepuluh bank Malaysia dan Hong Kong. Pegawai Bank Negara Malaysia dan HKMA berperanan untuk memastikan perbincangan semasa mesyuarat tersebut berjalan lancar.
Minat yang ditunjukkan dan penyertaan negara-negara ini dalam Dialog mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia, Hong Kong dan Tanah Besar China yang semakin kukuh. Malaysia merupakan rakan perdagangan China yang terbesar dalam ASEAN dan pelaburan langsung dari China ke Malaysia juga telah meningkat dengan nyata dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Dialog ini diadakan untuk menjadi platform yang membolehkan institusi kewangan Malaysia dan Hong Kong mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan keupayaan bersama mereka dalam menyediakan produk dan perkhidmatan RMB. Ini bagi menggalakkan peningkatan permintaan berkaitan peluang penyelesaian perdagangan dan peluang pelaburan.
Peserta Dialog telah meninjau perkembangan terkini pasaran RMB luar pesisir di Malaysia dan Hong Kong, dan bersetuju meningkatkan kerjasama bagi memajukan lagi pasaran berkenaan. Perkara yang dibincangkan dalam Dialog tersebut adalah seperti yang berikut:
- Untuk memantapkan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan sektor korporat mengenai penggunaan RMB dalam penyelesaian perdagangan dan pelaburan.
- Untuk meluaskan hubungan perniagaan antara bank di Malaysia dengan bank di Hong Kong, dengan tujuan untuk mengoptimumkan lagi keadaan mudah tunai di kedua-dua pasaran kewangan tersebut.
- Untuk mengkaji keperluan infrastruktur pasaran dan memberikan tindak balas pasaran yang sewajarnya dalam membangunkan produk dan perkhidmatan RMB luar pesisir bagi memenuhi permintaan pasaran sedang pesat membangun.
- Untuk menggalakkan pembangunan pasaran sukuk RMB luar pesisir dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam bidang kewangan Islam dan Hong Kong dalam perniagaan RMB.
Mesyuarat bagi Dialog selanjutnya akan diadakan di Hong Kong pada tahun 2014.
Bank Negara Malaysia
Hong Kong Monetary Authority
5 Disember 2013
Nota:
Sepuluh bank Malaysia dan Hong Kong yang menyertai Dialog ini ialah Bank of China, Bank Islam, CIMB Bank, Hong Leong Bank, HSBC, Industrial and Commercial Bank of China, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.