Mesyuarat Pertama Forum Bersama Mengenai Kewangan Islam antara Hong Kong dan Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
03 Dis 2013 Siaran Akhbar

Mesyuarat pertama bagi Forum Bersama (Forum) yang diterajui oleh sektor swasta diadakan di Hong Kong hari ini (3 Disember). Forum yang diwujudkan sebagai susulan kepada perjanjian antara Hong Kong Monetary Authority (HKMA) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan Ogos 2013, bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara Hong Kong dan Malaysia dalam bidang kewangan Islam.

Mesyuarat dihadiri perwakilan kanan daripada lapan bank perdagangan dan tiga syarikat pengurusan dana. HKMA dan BNM berperanan sebagai fasilitator, manakala Biro Perbendaharaan dan Perkhidmatan Kewangan Kerajaan Hong Kong SAR, Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan serta Hong Kong Exchanges and Clearing Limited turut menghadiri mesyuarat tersebut.

Peserta Forum meninjau perkembangan semasa kewangan Islam sedunia dan di kedua-dua buah negara selain membincangkan langkah-langkah untuk terus membangunkan pasaran kewangan Islam Hong Kong, khususnya pasaran sukuk dan industri pengurusan dana Islam.

Mesyuarat bersetuju dengan perkara berikut:

  1. Sukuk

    Peserta Forum bersetuju untuk mengenal pasti bakal penerbit  sukuk dan menggalakan terbitan sukuk merentas sempadan antara  Hong Kong dan Malaysia.  Khususnya, syarikat di rantau ini boleh menjadi salah satu sumber utama bakal penerbit sukuk. Peserta pasaran di Hong Kong menyokong usaha menjadikan sukuk  sebagai salah satu pilihan atau solusi kepada klien mereka yang memerlukan pembiayaan, memandangkan sukuk boleh menjadi salah satu cara bagi bakal penerbit untuk menambah jumlah pelabur mereka. Peserta juga mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Hong Kong SAR untuk mempertimbangkan terbitan sukuk lantaran ia akan memperkenalkan platform kewangan Islam Hong Kong kepada penerbit dan pelabur tempatan dan antarabangsa.
     
  2. Dana Islam

    Peserta forum bersetuju memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk melancarkan dana Islam serta menggunakan rangka kerja pengiktirafan bersama bagi dana Islam yang telah diwujudkan antara Hong Kong dengan Malaysia untuk memudahkan aktiviti kewangan Islam merentas sempadan. Ini akan menggalakkan tawaran pelbagai dana patuh Syariah yang lebih meluas di Hong Kong dan Malaysia.

Peserta forum mengalu-alukan rancangan oleh HKMA dan BNM untuk menganjurkan secara bersama persidangan Kewangan Islam pada separuh pertama tahun 2014 yang akan diadakan di Hong Kong. Dengan itu, mereka berpeluang untuk meningkatkan kesedaran pasaran tentang kewangan Islam.  

Mesyuarat juga bersetuju untuk menambah baik hubungan kewangan yang strategik antara Hong Kong dengan Malaysia. Ini bertujuan untuk memudahkan aliran pelaburan merentas sempadan dan mewujudkan peluang yang lebih luas bagi pelabur dari rantau ini dan rantau lain di dunia.

Mesyuarat Forum yang akan datang akan diadakan di Kuala Lumpur pada separuh kedua tahun 2014.

Hong Kong Monetary Authority
Bank Negara Malaysia
3 Disember 2013


Nota:

Peserta forum dalam kalangan sektor swasta adalah dari Hong Kong dan lapan bank Malaysia, iaitu Kumpulan CIMB, Citibank, Kumpulan Hong Leong, HSBC, Maybank, Kumpulan Public Bank, Kumpulan Perbankan RHB dan Standard Chartered. Turut serta ialah firma-firma pengurusan dana, iaitu BOCHK Asset Management, Maybank Asset Management, dan RHB Islamic International Asset Management.


Bank Negara Malaysia
03 Disember 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?