Mesyuarat Pertama Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada hari ini. Majlis yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri ini merupakan badan penggubal dasar tertinggi bagi menentukan hala tuju masa depan dan strategi pembangunan PKS.
Tumpuan Strategik dan Penyelarasan Pembangunan PKS di semua Sektor
Majlis ini akan menyediakan rangka kerja strategik supaya usaha antara agensi dalam membangunkan PKS lebih tertumpu dan selaras bagi memantau kecekapan penyelarasan serta memastikan pelaksanaan dasar dibuat secara berkesan dan meluas. Penubuhan Majlis ini melambangkan komitmen Kerajaan untuk membangunkan PKS di peringkat tertinggi. PKS mempunyai potensi untuk menyokong pertumbuhan industri sedia ada dan baru dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan asas tani, perkilangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sektor PKS yang berdaya maju dan dinamik amat penting bagi menjana pertumbuhan yang diterajui oleh sektor dalam negeri. Ini akan mengukuhkan keutuhan ekonomi dalam persekitaran yang lebih kompetitif dan mencabar.
Terma Rujukan Majlis
Terma Rujukan Majlis adalah seperti berikut:
- Merangka dasar dan strategi meluas bagi memudahkan pembangunan keseluruhan PKS di semua sektor;
- Meningkatkan tumpuan peranan dan tanggungjawab Agensi dan Kementerian Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan PKS;
- Meningkatkan kerjasama dan penyelarasan antara Kementerian dan Agensi bagi memastikan pelaksanaan dasar dan pelan tindakan pembangunan PKS yang berkesan; dan
- Menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor swasta dalam menyokong pembangunan keseluruhan PKS.
Ahli Majlis
Keanggotaan Kementerian dan Agensi dalam Majlis ini adalah berdasarkan kepada peranan dan sumbangan masing-masing dalam pembangunan PKS dan keusahawanan.
- Y.A.B. Perdana Menteri (Pengerusi)
- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
- Menteri Sumber Manusia
- Menteri Kewangan II
- Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi
- Menteri Industri Perladangan dan Komoditi
- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
- Menteri Pelancongan
- Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah
- Menteri Pelajaran
- Menteri Pelajaran Tinggi
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Dato’ Mustapa Mohamed
- Gabenor Bank Negara Malaysia
- Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi
- Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia
Takrif untuk PKS
Majlis telah membincangkan pelbagai takrif PKS yang boleh diterimapakai untuk sektor perkilangan, pertanian dan asas tani serta perkhidmatan. Majlis bersetuju terhadap keperluan mempunyai takrif yang khusus untuk PKS dalam semua sektor bergantung kepada keunikan dan pengkhususan aktiviti masing-masing. Majlis juga pada dasarnya bersetuju untuk menggunapakai takrif yang berasaskan jumlah perolehan tahunan dan bilangan pekerja sepenuh masa untuk semua sektor. Ini akan membolehkan penggubalan dasar dan program sokongan yang berkesan ditujukan kepada sektor sasaran dalam ekonomi, memudahkan pemberian bantuan teknikal dan kewangan, dan memudahkan PKS dikenalpasti di mana-mana kategori dan peringkat. Tambahan lagi, takrif berdasarkan aktiviti ekonomi akan memudahkan prospek dan isu sektor terbabit dikenalpasti bagi membolehkan tindakan dasar yang sesuai diambil. Ia juga akan membolehkan pemantauan rapi dibuat terhadap prestasi PKS dan sumbangan mereka kepada ekonomi.
Penubuhan Pangkalan Data PKS Kebangsaan
Majlis memutuskan bahawa Jabatan Statistik akan menubuhkan dan mentadbir Pangkalan Data PKS Kebangsaan. Pangkalan data ini akan memberikan para penggubal dasar dan industri dengan maklumat yang relevan dan terkini, bagi memantau pembangunan dalam sektor PKS, termasuk keadaan operasi mereka, status kewangan dan keperluan pembangunan.
Majlis juga memutuskan bahawa bancian asas semua perusahaan dan perniagaan akan dijalankan di seluruh negara. Ini akan membantu Majlis dalam menilai keadaan semasa dan keperluan PKS, serta mengenalpasti isu-isu penting yang berkaitan dengan prestasi dan pembangunan mereka. Maklumat yang dikumpul dari bancian tersebut akan membantu penggubalan dasar bagi menjadikan PKS sebagai penjana pertumbuhan yang penting dan dalam penggubalan strategi untuk Rancangan Malaysia Ke-9 yang akan datang.
Profil dan Program Pembangunan PKS
Majlis juga membincangkan program yang berkaitan pembangunan PKS oleh pelbagai Kementerian dan Agensi yang sedia ada. Program ini mempunyai objektif dan kumpulan sasarnya yang tersendiri, seperti industri luar bandar, pengusaha Bumiputera dan pengusaha mikro.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) telah ditugaskan untuk membangunkan PKS dalam sektor perkhidmatan. Bagi meluaskan liputan program sokongan dalam sektor perkhidmatan, SMIDEC telah diperuntukkan RM14.4 juta.. Empat sektor yang telah disasarkan ialah perdagangan penyampaian (borong dan perkhidmatan), logistik, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan berkaitan perkilangan.
Meningkatkan Akses Pembiayaan kepada PKS
Dalam usaha meningkatkan akses pembiayaan kepada PKS, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Unit Khas PKS yang komprehensif pada bulan Mei 2003. Peranan Unit Khas PKS kini telah diperluaskan lagi untuk tidak hanya memberikan maklumat mengenai pelbagai sumber pembiayaan yang ada untuk PKS, membantu permohonan pinjaman, mengatasi masalah yang dihadapi PKS yang berdaya maju dalam mendapatkan akses pembiayaan dan memberikan khidmat nasihat mengenai keperluan kewangan PKS yang lain, tetapi juga membantu dalam penyusunan semula pinjaman PKS di bawah Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS). Unit Khas PKS ini merupakan pusat rujukan bersepadu bagi semua isu yang berkaitan akses pembiayaan kepada PKS, termasuklah menjalankan tanggungjawabnya mentadbir SDRS.
Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia sedang menubuhkan pusat khidmat pelanggan sebagai pusat rujukan bagi mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan tindakbalas kepada orang ramai umumnya dan PKS khususnya, mengenai hal ehwal kewangan.
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Lihat juga: Kata-kata pembukaan oleh Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.