MoU Dua Hala Mengenai Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan Antara Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand

Embargo: Untuk siaran segera
23 Dis 2016 Siaran Akhbar

Bank Indonesia, Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand hari ini menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dua hala mengenai rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan.

Bank Negara Malaysia dan Bank of Thailand masing-masing menandatangani MoU dengan Bank Indonesia berhubung dengan rangka kerja kerjasama untuk menggalakkan penyelesaian perdagangan dua hala dan pelaburan langsung dalam mata wang tempatan masing-masing. MoU ini merupakan satu peristiwa penting dalam kerjasama bank-bank pusat serantau.

Berikutan kejayaan melaksanakan pengaturan yang serupa antara Bank Negara Malaysia dengan Bank of Thailand pada awal tahun ini, pengaturan dua hala ini dijangka memudahkan aktiviti ekonomi dan kewangan dengan cekap antara ketiga-tiga negara.

Persekitaran yang diperlukan ini akan memberikan manfaat kepada perniagaan melalui penurunan kos transaksi dan peningkatan kecekapan penyelesaian perdagangan dan pelaburan. Dalam keadaan pasaran kewangan global semasa yang tidak menentu, ini memberikan lebih banyak pilihan kepada perniagaan untuk memilih mata wang bagi penyelesaian perdagangan.

Rangka kerja ini akan meluaskan lagi penggunaan mata wang tempatan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN dan terus menggalakkan pasaran pertukaran asing dan pasaran wang serantau dalam menyokong integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih luas.

MoU ini ditandatangani oleh Agus D.W. Martowardojo, Gabenor Bank Indonesia, Muhammad bin Ibrahim, Gabenor Bank Negara Malaysia, dan Veerathai Santiprabhob, Gabenor Bank of Thailand.  

 
Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia
Bank of Thailand 


Bank Negara Malaysia
23 Disember 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?