MyFintech Week 2025 Serlahkan Daya Transformatif Sektor Kewangan

06 Ogo 2025 Siaran Akhbar
  • MyFintech Week 2025 (MyFW 2025) mengetengahkan daya yang membentuk semula sektor kewangan melalui pendigitalan, kelestarian dan anjakan demografi.
  • Acara ini menampilkan para pakar dalam isu utama kewangan, seperti pendigitalan dan inovasi, rangkuman kewangan dan kelestarian.
  • Acara empat hari ini menampilkan pandangan transformatif daripada para pemimpin berwawasan dan kelas kepakaran oleh pakar-pakar industri.

 

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2025 – MyFW 2025 menyerlahkan daya yang membentuk semula sektor kewangan, iaitu pendigitalan, kelestarian dan anjakan demografi. Teknologi baharu seperti AI generatif dan rantaian blok (blockchain) sedang mengubah model perniagaan dan mentakrifkan semula jangkaan pengguna. Komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih juga mendorong permintaan untuk penyelesaian kewangan yang inovatif. Di samping itu, cabaran yang timbul berikutan populasi yang semakin berusia menekankan keperluan berhubung dengan dasar yang inklusif bagi kebajikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial jangka panjang.

Mencerminkan realiti ini, MyFW 2025 disusun mengikut tiga trek tematik. Daripada dialog tertutup kepada kelas kepakaran yang diterajui pakar serta sesi berfokus yang mendalam, kesemua tema ini membentuk perbincangan sepanjang MyFW:

  • "Kewangan untuk Masa Hadapan" memberikan tumpuan pada pembinaan sistem kewangan yang digerakkan secara digital dan berpandangan ke hadapan;
  • "Kewangan untuk Perubahan" menyokong kelestarian dan impak sosial; dan
  • "Kewangan untuk Ekosistem Berdaya Tahan" bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan sistem kewangan.

MyFW 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos 2025 di Sasana Kijang dan Centre of Excellence AICB merupakan anjuran bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC), Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Fintech Association of Malaysia (FAOM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Acara ini menghimpunkan pengawal selia, institusi kewangan, bank digital, inovator fintech, penyedia teknologi, pembuat dasar, pelabur dan ahli akademik yang menghasilkan wacana terbuka, pandangan praktikal dan penyelarasan serantau.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II. "Sektor kewangan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk hasil yang penting kepada masyarakat pada tahun-tahun akan datang, menyokong kesemua bidang pertumbuhan baharu ini, keusahawanan dan inovasi yang lebih luas, serta memupuk daya tahan ekonomi dan mobiliti sosial," ujar beliau dalam Ucapan Khas majlis perasmian.

Acara dimulakan dengan beberapa ucaptama peringkat tinggi yang menerokai inovasi, rangkuman dan kejelasan pengawalseliaan. Dalam ucapan pembukaan beliau, Gabenor BNM Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour menggariskan kepentingan kerjasama dalam membentuk masa depan kewangan, yang memerlukan penyelesaian seluruh ekosistem. "Masa depan yang kita sedang bina menuntut kesepakatan dalam kalangan pembuat dasar, pengawal selia, ahli teknologi, pelabur dan inovator," kata beliau.

Mantan ahli perbankan pusat dan Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies, Tan Sri Andrew Sheng dalam ucaptama beliau yang bertemakan "Unlocking Tomorrow: Transformative Innovations in Financial Services" meneroka cara teknologi penting, termasuk pengkomputeran awan, AI dan data terbuka, mengubah landskap kewangan dengan pantas. Ketua Ant International, Douglas Feagins menerokai kebolehoperasian mudah alih antara negara yang berbeza dan cara AI mentakrifkan semula transaksi rentas sempadan dan pengalaman pengguna dalam pembayaran digital menerusi ucaptama beliau mengenai "Beyond Borders: Mobile Payment in AI Era".

Sesi panel utama, "Navigating the Fintech Frontier: Bridging Innovation and Regulation" mengumpulkan para gabenor bank pusat dan pengawal selia kewangan seluruh rantau. Bersama-sama Ketua Global Macro-financial Monitoring Bank Dunia, Erik Feyen selaku moderator, sesi panel menampilkan Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Pengerusi Eksekutif SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi,  Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Eddie Yue, dan Pengarah Urusan Monetary Authority of Singapore, Chia Der Jiun. Perbincangan tertumpu pada mengimbangi antara inovasi dengan kepercayaan pengguna serta keperluan yang semakin meningkat untuk kerjasama rentas sempadan bagi memastikan rangka kerja dasar yang koheren dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan.

Kata Dato’ Faiz, “Kejelasan pengawalseliaan adalah sangat penting untuk memupuk inovasi yang bertanggungjawab, namun keupayaan untuk kekal tangkas juga merupakan satu keperluan. Pengalaman kami dengan peraturan aset kripto menggariskan keperluan untuk pendekatan berulang (iterative approach) untuk menangani inovasi pantas dan evolusi pasaran.

Kami sedang memajukan ulangan pendekatan yang seterusnya terhadap aset digital untuk membina pasaran terkawal yang lebih kukuh, mempertingkatkan daya saing, daya tahan dan perlindungan pelabur. Melalui sokongan kawal selia dan perkongsian ekosistem, kami juga memudahkan kes penggunaan rantaian blok seperti tokenisasi bon untuk memperluas akses runcit dan memberikan peluang penciptaan kekayaan yang sama rata."

Persidangan ini menampilkan banyak sesi yang menarik mengenai pelbagai topik termasuk kewangan terbuka, aset digital dan kewangan mampan. Peserta juga akan disajikan dengan sesi berfokus yang disampaikan oleh rakan kerjasama utama dan pakar industri, yang akan mengetengahkan kajian mendalam mengenai isuseperti tokenisasi aset, AI generatif dan daya tahan keselamatan siber.

 

Bank Negara Malaysia
6 Ogos 2025

 


Mengenai MyFintech Week

MyFintech Week (MyFW) ialah acara kewangan dan inovasi utama Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Asian Institute of Chartered Bankers, Malaysia Digital Economy Corporation dan Fintech Association of Malaysia. Acara ini menghimpunkan pemimpin, pembuat dasar dan inovator untuk membentuk masa depan kewangan dan berfungsi sebagai landasan pelancaran untuk kerjasama dan kemajuan ke arah ekosistem kewangan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya tahan.


Bank Negara Malaysia
06 Ogos 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?