Nasihat BNM mengenai Skim Cepat Kaya
Bank Negara Malaysia ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri di dalam skim-skim cepat kaya. Ini adalah kerana mereka menanggung risiko kehilangan wang mereka.
Skim-skim tersebut di mana operator menerima wang daripada orang ramai dengan berjanji akan membayar balik samada bersama faedah, premium, dividen atau sebarang pulangan dalam bentuk wang tunai ataupun barangan lain, tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dianggap pengambil deposit haram. Pengambilan deposit haram adalah merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya sekali. Sekiranya kesalahan ini berterusan, denda harian sebanyak RM10 ribu akan dikenakan untuk setiap hari kesalahan tersebut diteruskan.
Pada 8 Ogos 2000, pegawai-pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia telah membuat satu serbuan ke atas Platinum Lane Sdn. Bhd. untuk mengumpul bukti bagi tujuan pendakwaan ke atas operator skim cepat kaya. Bank Negara Malaysia mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa di antara aktiviti yang dijalankan oleh syarikat berkenaan adalah pengambilan deposit haram. Penyiasatan ke atas syarikat tersebut masih diteruskan.
Sementara penyiasatan sedang dijalankan, operator pengambil deposit haram tidak dihalang daripada membayar balik deposit seperti yang dipersetujui dengan pendeposit, malah mereka bertanggung jawab dan perlu membayar balik secara penuh kepada pendeposit-pendeposit. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, pendeposit boleh mengambil tindakan sivil untuk mendapatkan kembali wang mereka dan menghalang operator tersebut daripada melesapkan dana mereka.
Bank Negara Malaysia sedang memantau situasi tersebut dengan teliti dan akan memaklumkan perkembangan seterusnya kepada orang ramai.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.