National Bank of Cambodia Secara Rasmi Menyertai Inisiatif Rangkaian Pembayaran Serantau

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1730 pada Selasa, 8 April 2025
08 Apr 2025 Siaran Akhbar

National Bank of Cambodia (NBC), bank pusat Kemboja, telah secara rasmi menyertai inisiatif Rangkaian Pembayaran Serantau (Regional Payment Connectivity, RPC), lantas memperkukuh integrasi kewangan serantau di Asia Tenggara. Penyertaan NBC dalam RPC merupakan susulan hasrat yang disampaikan oleh NBC untuk menyertai inisiatif ini secara rasmi. NBC mengumumkan penyertaannya dalam halaman tambahan keempat Memorandum Persefahaman Rangkaian Pembayaran Serantau (Memorandum of Understanding on Cooperation in Regional Payment Connectivity, MOU RPC) semasa pelancaran fasa dua jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja pada 8 April 2025 di acara sampingan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Penyertaan NBC dalam inisiatif RPC menjadikan jumlah keanggotaan RPC kepada sembilan bank pusat ASEAN. RPC ditubuhkan pada tahun 2022 oleh bank-bank pusat Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Inisiatif RPC kemudiannya diluaskan dengan penyertaan Vietnam pada bulan Ogos 2023 serta Brunei Darussalam dan Lao PDR masing-masing pada bulan Februari dan April 2024. Penambahan bank-bank pusat peserta dalam inisiatif RPC ini mencerminkan potensinya untuk dikembangkan di dalam dan juga di luar ASEAN, bagi mempertingkatkan kerjasama rangkaian pembayaran serantau dan memupuk integrasi kewangan yang lebih meluas di rantau ini.

Inisiatif RPC bertujuan untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif. Sejak penubuhannya, RPC telah memainkan peranan penting dalam memupuk dan mempercepat pembangunan rangkaian pembayaran rentas sempadan di rantau ini termasuk melalui pembayaran berasaskan kod QR dan modaliti pembayaran pantas. Dengan memacu transaksi rentas sempadan yang lancar di rantau ini, inisiatif RPC menyokong pertumbuhan kegiatan ekonomi ASEAN yang lebih meluas, termasuk memberikan akses pasaran yang lebih besar untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memudahkan aktiviti perdagangan dan menambah baik proses pengiriman wang.

Gabenor National Bank of Cambodia Puan Yang Terutama Dr. Chea Serey berkata, "Penyertaan dalam inisiatif RPC akan memupuk pertumbuhan ekonomi serantau dan mewujudkan sistem pembayaran yang lebih saling berhubung kait dalam rantau ASEAN."

Bank Negara Malaysia
National Bank of Cambodia
Bank Indonesia
Bangko Sentral ng Pilipinas
Bank of Thailand
Brunei Darussalam Central Bank
Bank of the Lao P.D.R.
Monetary Authority of Singapore
State Bank of Vietnam

8 April 2025


Bank Negara Malaysia
08 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?