Operasi Serbuan Ke Atas Jasa Kembar Sdn Bhd dan Lancar Borneo Sdn Bhd
Pada 3 November 2014, Bank Negara Malaysia (Bank) telah membuat serbuan ke atas premis Jasa Kembar Sdn. Bhd. (911832-A) dan Lancar Borneo Sdn. Bhd. (1048507-D) di Kuala Lumpur. Syarikat-syarikat ini diserbu kerana disyaki menjalankan aktiviti perniagaan pengiriman wang tanpa lesen di bawah seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Money Services Business Act 2011, MSBA). Syarikat-syarikat ini juga sedang disiasat kerana melakukan kegiatan pengubahan wang, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
Serbuan dibuat bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia. Premis ejen syarikat dan kediaman pengarah kedua-dua syarikat itu juga diserbu. Aset dan dokumen syarikat yang berkaitan telah dirampas dan akaun bank mereka dibekukan untuk tujuan penyiasatan.
Orang ramai dinasihati supaya tidak berurusan atau mengirim wang melalui kedua-dua syarikat ini dan ejen mereka, dan tidak menggunakan perkhidmatan pengendali yang tidak berlesen. Orang ramai tidak akan dilindungi daripada sebarang kerugian kewangan akibat menggunakan saluran perniagaan perkhidmatan wang haram kerana tidak ada mekanisme aduan dan bantuan penyelesaian yang rasmi jika berlaku pertikaian. Tambahan lagi, tiada jaminan bahawa wang yang dikirim akan sampai kepada penerima sebenar.
Mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLA boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan yang digunakan semasa melakukan kesalahan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.
Senarai pengendali pengiriman wang berlesen dan ejen berdaftar boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di:
Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Tingkat Bawah, Blok D
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
BNMTELELINK
(Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
E-mel: [email protected]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.