Pakej Perlindungan Konsumer Kewangan yang Diperkukuhkan

Embargo: Untuk siaran segera
11 Mei 2010 Siaran Akhbar

Perdana Menteri Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak hari ini mengumumkan cadangan pakej perundangan bagi tujuan memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) akan mengemukakan suatu rang undang-undang bagi membolehkan Kerajaan meningkatkan had insurans deposit kepada RM250,000, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011. Pakej perundangan tersebut dijangka akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas dan diluluskan sebagai enakmen sebelum akhir tahun ini.

PIDM akan juga memperkenalkan Skim Pampasan Insurans yang eksplisit, berserta perundangannya, untuk para pemegang polisi insurans dan takaful. Matlamat Kerajaan adalah memastikan pemegang polisi insurans dan takaful menikmati tahap perlindungan konsumer yang sama dengan perlindungan yang diberikan oleh PIDM terhadap para penyimpan di bank perdagangan dan bank Islam.

Pakej perlindungan konsumer ini jelas menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan untuk memperkukuhkan perlindungan konsumer kewangan untuk rakyat Malaysia dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem kewangan Malaysia.

Jaminan Deposit Kerajaan akan berakhir pada akhir tahun ini seperti yang dijadualkan. Pengukuhan perlindungan konsumer melalui pakej ini dapat terus menyediakan lebih perlindungan untuk para penyimpan. 99% penyimpan akan dilindungi sepenuhnya berdasarkan had baru insurans deposit.

Skim Pampasan Insurans yang dicadangkan ini akan ditadbir oleh PIDM. Ianya akan memberi taraf yang sama di antara industri perbankan dan insurans serta menggalakkan daya saing yang adil kerana pemegang polisi dan para penyimpan dalam kedua-dua industri tersebut memperolehi perlindungan. Skim Pampasan Insurans ini akan memperkukuhkan dan menyumbang kepada keyakinan konsumer kewangan dan seterusnya, menggalakkan permintaan konsumer terhadap produk insurans dan takaful.

PIDM akan mengadakan rundingan dengan pemegang kepentingan mengenai ciri-ciri utama Skim Pampasan Insurans ini sebelum mengusulkan cadangan tersebut kepada Kerajaan.

Pejabat YAB Menteri Kewangan Malaysia
11 Mei 2010

Lihat juga: Soalan Lazim (Bahasa Inggeris) [PDF, 51KB]


Bank Negara Malaysia
11 Mei 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?