Pelajar Sarjana Ijazah Muda Didedahkan Kepada Dunia Perumusan Dasar Ekonomi
Kursi Tun Ismail Ali (TIAC), yang diasaskan oleh Bank Negara Malaysia dengan matlamat untuk meningkatkan kecemerlangan akademik bidang monetari dan ekonomi kewangan bagi komuniti akademik tempatan, baru-baru ini menganjurkan buat julung kalinya Cabaran Tun Ismail Ali (Cabaran TIA) pada 18 dan 19 Julai 2018 di Bank Negara Malaysia. Cabaran TIA ini merupakan suatu bentuk pertandingan yang berlangsung selama dua hari dan secara bermalam, yang menyediakan platform kepada pelajar sarjana ijazah muda untuk membentangkan idea-idea dan daya kreatif mereka dalam menyelesaikan isu-isu dasar berkaitan dengan makroekonomi dan sektor kewangan. Matlamat penganjuran Cabaran TIA ini adalah untuk menggalakkan pembinaan asas teori dan amali bidang ekonomi yang kukuh dalam kalangan generasi pelajar sarjana ijazah muda ekonomi Malaysia akan datang. Sebanyak 27 orang finalis telah terpilih daripada 150 permohonan yang diterima untuk menyertai Cabaran TIA ini.
Cabaran TIA ini bertemakan ‘Teknologi dan Bidang Pertumbuhan Baharu’. Para finalis yang merupakan pelajar pelbagai universiti tempatan dan luar negeri, telah mengemukakan pelbagai solusi dasar yang akan membolehkan Malaysia meraih manfaat terbaik daripada revolusi teknologi yang menjadi asas perubahan negara-negara di seluruh dunia.
Aaron Luke (London School of Economics), Alya Athira binti Mohamed Rafick Khan (London School of Economics) dan Thevesh Thevananthan (University of Cambridge), yang menamakan kumpulan mereka ‘Pakatan Nasi Lemak’, berjaya menjadi Juara Cabaran Tun Ismail Ali kali ini. Kumpulan ini mempertaruhkan cadangan penubuhan sebuah agensi yang akan menyelaraskan dan membiayai program latihan kemahiran tinggi untuk pekerja. Sebaik menamatkan latihan kemahiran tinggi ini, agensi ini akan memadankan para pekerja tersebut dengan majikan-majikan yang berminat.
Cheah May Lyn (University of California, Berkeley), Lai Jia Hao (University of Nottingham Malaysia Campus) dan Ridhuan Mohammad Rizal (University of California, Berkeley) daripada kumpulan ‘Golden Bears’ yang menduduki tempat kedua, telah mencadangkan dasar-dasar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) dengan memanfaatkan permintaan global terhadap sumber tenaga tersebut. Sementara itu, Mandeep Singh A/L Manjit Singh (Help Academy), Sukhdev Singh Malhi Darshan Singh (London School of Economics) dan Wong Khang Yee (Help Academy) melalui kumpulan ‘Scientia Conquisitor’ memenangi tempat ketiga. Mereka mencadangkan dasar-dasar untuk menghubungkaitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan syarikat-syarikat yang baru memulakan perniagaan.
Juara Cabaran TIA memenangi hadiah bernilai RM10,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.