Pelaksanaan Rang Undang-Undang PIDM 2010 Yang Baharu

Embargo: Untuk siaran segera
07 Jan 2011 Notis Umum

Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) 2010 yang baharu telah diluluskan oleh Parlimen dan mula dilaksanakan pada 31 Disember 2010. Rang undang-undang baharu itu memperuntukkan perlindungan insurans deposit yang lebih kukuh bagi melindungi pengguna kewangan dengan meningkatkan had insurans deposit kepada RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Rang undang-undang ini akan menyediakan perlindungan sepenuhnya bagi 99% pendeposit runcit. Selain itu, kini deposit dalam mata wang asing juga akan dilindungi di bawah sistem insurans deposit.

Perlindungan insurans deposit yang lebih kukuh itu berkuat kuasa pada tarikh tamat tempoh jaminan penuh ke atas deposit yang bersifat sementara, yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai langkah pencegahan awal semasa kewangan global mengalami tempoh yang tidak menentu pada tahun 2009. Sektor kewangan Malaysia terus berdaya tahan sepanjang tempoh ini dan jaminan penuh ke atas deposit tidak pernah digunakan sehingga tamat tempoh tersebut pada 31 Disember 2010.

Rang undang-undang baharu itu juga memperuntukkan pentadbiran Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (Takaful and Insurance Benefits Protection System, TIPS) oleh PIDM. TIPS ialah sistem perlindungan Kerajaan terhad yang eksplisit, yang melindungi manfaat takaful dan insurans di bawah rangka kerja yang secara amnya konsisten dengan sistem insurans deposit.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PIDM di alamat berikut:

URL Laman Web


Bank Negara Malaysia
07 Januari 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?