Pelaksanaan Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek di Seluruh Negara

Embargo: Untuk siaran segera
30 Jun 2009 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek ( Cheque Truncation and Conversion System, CTCS ) akan mula dilaksanakan di seluruh negara. Berkuat kuasa 1 Julai 2009, sistem penjelasan cek di Malaysia akan berasaskan kepada penyaluran imej dan data cek secara elektronik antara bank dengan rumah penjelasan bagi menggantikan sistem sedia ada yang berasaskan pertukaran cek secara fizikal.

Pengurusan dan operasi sistem CTCS kini dikendalikan sepenuhnya oleh Perbadanan Penjelasan Elektronik Malaysia Sdn. Bhd ( Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn. Bhd, MyClear ). MyClear ialah syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia yang mula beroperasi pada 2 Januari 2009.

CTCS merupakan suatu inisiatif penting untuk memodenkan infrastruktur pemprosesan cek di negara ini dengan mengelektronikkan proses penjelasan cek dan mengurangkan risiko serta kos yang berkaitan dengan instrumen pembayaran berasaskan kertas. C ek terus merupakan instrumen pembayaran yang penting, dengan mencakupi kira-kira 91.6% daripada nilai pembayaran bukan tunai. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan CTCS akan meningkatkan kecekapan penjelasan cek dan menyumbang kepada pengurangan kos menjalankan perniagaan lantas meningkatkan daya saing perniagaan dan ekonomi keseluruhannya.

Bagi pengguna dan golongan peniaga, pelaksanaan CTCS akan menyumbang kepada proses penjelasan cek yang lebih pantas dalam masa yang lebih singkat. Hasilnya, dana dapat dikreditkan ke dalam akaun pendeposit dengan lebih cepat. Cek tempatan dan cek luar kawasan secara keseluruhannya akan dijelaskan pada hari yang sama dan dana boleh diterima selewat-lewatnya dua hari dari tarikh penjelasan cek tersebut. Walau bagaimanapun, bagi negeri Kelantan dan Terengganu, yang cuti hujung minggunya adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, cek yang didepositkan pada hari Ahad memerlukan tambahan satu hari bekerja untuk dana dimasukkan ke dalam akaun pendeposit. Selain itu, pengguna dan golongan peniaga juga tidak perlu lagi menanggung bayaran komisen bagi cek luar kawasan.

Dengan pelaksanaan CTCS, orang ramai diingatkan bahawa berkuat kuasa 1 September 2009, hanya cek dengan reka bentuk baharu yang mematuhi Standard Reka Bentuk dan Spesifikasi Cek eSPICK ( eSPICK Cheque Design Standards and Specifications ) sahaja akan diterima oleh pihak bank untuk penjelasan. Oleh itu, pelanggan dinasihati supaya menukarkan cek reka bentuk lama yang tidak digunakan dengan cek reka bentuk baharu di bank masing-masing.

Walaupun pelaksanaan CTCS merupakan suatu inisiatif untuk meningkatkan kecekapan, penggunaan e-pembayaran yang lebih meluas yang didorong oleh kemajuan teknologi elektronik akan membawa kepada sistem pembayaran yang lebih cekap, yang seterusnya akan meningkatkan lagi daya saing ekonomi negara.

Untuk keterangan lanjut mengenai CTCS, orang ramai boleh menghubungi:

Perbadanan Penjelasan Elektronik Malaysia Sdn. Bhd. (MyClear)
Tingkat 3, Blok C
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Telefon : 03-26988044 Samb. 7177
Talian terus: 03-26945185
Faksimile : 03-26920625
E-mel : [email protected]

Bank Negara Malaysia
BNMTELELINK (Pusat Hubungan Pelanggan)
Telefon : 1-300-88-5465
Faksimile : 03-21741515
E-mel : [email protected]

 


Bank Negara Malaysia
30 Jun 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?