Pelaksanaan Skim Ombudsman Kewangan

Embargo: Untuk siaran segera
28 Sep 2016 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Ombudsman Perkhidmatan Kewangan akan memulakan operasi sebagai pengendali skim ombudsman kewangan pada 1 Oktober 2016. Ombudsman Perkhidmatan Kewangan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk menyediakan saluran yang adil dan berkesan bagi pengguna kewangan menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan. 

Ombudsman Perkhidmatan Kewangan berperanan sebagai mekanisme bantuan penyelesaian yang bebas dengan formaliti yang minimum bagi pengguna kewangan menyelesaikan pertikaian dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Perkhidmatan ini merupakan alternatif kepada, dan bukan untuk menggantikan tindakan undang-undang yang diambil di mahkamah. Perkhidmatan Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan diberikan secara percuma kepada pengguna kewangan.

Ombudsman Perkhidmatan Kewangan akan beroperasi selaras dengan prinsip kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, kebolehcapaian, kebertanggungjawapan, ketelusan dan keberkesanan. Ombudsman Perkhidmatan Kewangan ditadbir urus oleh lembaga pengarah yang diketuai oleh YBhg. Tan Sri James Foong, Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara dan telah dilantik sebagai Pengerusi Ombudsman Perkhidmatan Kewangan.

Jeremy Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Ombudsman Perkhidmatan Kewangan berkata, “Pelaksanaan skim ombudsman kewangan baharu ini tepat pada masanya. Ia mengukuhkan lagi rangka kerja perlindungan pengguna kewangan dalam persekitaran yang semakin pelbagai serta tawaran produk dan perkhidmatan kewangan yang kompetitif. Bagi mengendalikan skim ini, Ombudsman Perkhidmatan Kewangan menggabungkan pengaturan tadbir urus dan pengendalian yang dipertingkat, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa bagi menggalakkan penyelesaian pertikaian yang adil, berkesan dan bebas."

Pengguna kewangan boleh merujuk pertikaian yang layak yang melibatkan bank, syarikat insurans, pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan, pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan, broker insurans dan broker takaful serta penasihat kewangan kepada Ombudsman Perkhidmatan Kewangan untuk penyelesaian. Pertikaian yang difailkan melalui Ombudsman Perkhidmatan Kewangan hendaklah tidak melebihi  RM250,000. Had yang lebih rendah terpakai bagi pertikaian mengenai tuntutan insurans motor bagi kerosakan harta pihak ketiga dan urus niaga tanpa kebenaran yang melibatkan instrumen pembayaran dan saluran pembayaran. Maklumat lanjut mengenai pertikaian yang layak yang termasuk dalam skim ombudsman kewangan dan prosedur untuk mengemukakan pertikaian dalam skim ombudsman kewangan boleh didapati di laman sesawang Ombudsman Perkhidmatan Kewangan di  www.ofs.org.my. 

Orang ramai juga boleh menghubungi Ombudsman Perkhidmatan Kewangan atau datang semasa waktu pejabat (8.30 pagi hingga 5.30 petang hari Isnin hingga Jumaat).

Alamat:

Tingkat 14, Blok Utama,
Menara Takaful Malaysia,
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman,
50000 Kuala Lumpur

Telefon dan Faks:

Tel: 03 2272 2811
Faks: 03 2272 1577
E-mel: [email protected]


Bank Negara Malaysia
28 September 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?