Pelancaran Cabaran Inovasi Kewangan Ekonomi Jangka Pendek (Gig Economy): Mengukuhkan Kedudukan Kewangan Pekerja Sambilan (Gig Workers)
APEC Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC) dan United Nations Capital Development Fund (UNCDF) hari ini melancarkan Cabaran Inovasi Kewangan Ekonomi Jangka Pendek. Cabaran ini dibiayai oleh Yayasan MetLife menerusi program i3 (Innovate, Implement and Impact).
Cabaran ini mempelawa penyertaan untuk penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kedudukan kewangan pekerja ekonomi sambilan, dalam menyokong tema dan bidang keutamaan APEC Malaysia 2020, terutamanya di bawah Proses Menteri-Menteri Kewangan (Finance Ministers’ Process). Hal ini termasuk 1) mengoptimumkan potensi sumber manusia ke arah kemakmuran masa depan bersama; 2) memberikan fokus yang berpanjangan terhadap rangkuman kewangan; dan 3) mendemokrasikan ekonomi digital.
Berbeza daripada pengaturan ekonomi tradisional, ekonomi jangka pendek bercirikan pekerjaan yang fleksibel, sementara, atau tugasan bebas (freelance jobs) dengan pendapatan dan waktu bekerja yang tidak tetap. Didorong oleh revolusi digital pada tahun-tahun kebelakangan ini, pertumbuhan ekonomi jangka pendek dijangka berterusan. Menjelang tahun 2023, ekonomi jangka pendek global dari segi jumlah kasar dijangka meningkat daripada USD200 bilion kepada USD455 bilion. Perubahan dalam landskap pekerjaan telah membawa sumber risiko kewangan yang baharu. Jika tidak tidak diuruskan dengan baik, hal ini boleh mendedahkan pekerja ekonomi jangka pendek kepada kejutan kewangan.
Malaysia selaku tuan rumah kepada APEC 2020, mengajak kepada usaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan, di samping mengagih kekayaan dengan adil dan saksama dalam semua segmen penduduk, termasuk yang terlibat dalam ekonomi jangka pendek. Oleh itu, cabaran ini bertujuan untuk mencari penyelesaian inovatif yang dapat menjamin kesejahteraan ekonomi dan kewangan para pekerja ekonomi jangka pendek melalui empat tunggak kedudukan kewangan - perbelanjaan, simpanan, peminjaman dan perancangan kewangan.
Penyedia penyelesaian di semua ekonomi APEC dipelawa untuk mengemukakan permohonan mereka mulai hari ini sehingga 11 Mei 2020 melalui www.uncdf.org/finlab. Pemohon yang disenarai pendek akan diundang untuk mengambil bahagian dalam program "pemecut" (“accelerator”) selama empat minggu untuk terus membangunkan dan memperhalusi penyelesaian mereka dengan bantuan pakar. Pada akhir program, panel juri akan memilih tiga permohonan untuk menerima geran dan peluang untuk menjadi produk rintis di Malaysia. Pemohon yang dipilih akan mempunyai peluang untuk mempamerkan penyelesaian mereka di Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC pada bulan Oktober 2020. Maklumat lanjut mengenai cabaran ini boleh didapati di laman sesawang rasmi cabaran ini di www.uncdf.org/finlab.
Lihat juga: Soalan Lazim
APEC Malaysia
Bank Negara Malaysia
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia
United Nations Capital Development Fund
18 Mac 2020
Mengenai APEC Malaysia 2020
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Asia-Pacific Economic Cooperation, APEC) merupakan forum ekonomi serantau yang terdiri daripada 21 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1989. Kerjasama ini dibentuk untuk mengambil manfaat daripada negara-negara Asia Pasifik yang semakin saling bergantung dengan matlamat utama untuk menggalakkan perdagangan bebas dan pembangunan mampan dalam kalangan negara-negara Lingkungan Pasifik.
Malaysia merupa salah satu negara pengasas APEC pada tahun 1989, bersama-sama dengan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat. China; Hong Kong, China; dan Chinese Taipei menyertai APEC pada tahun 1991. Mexico dan Papua New Guinea pula menyusul pada tahun 1993. Chile menyertai APEC pada tahun 1994 dan pada tahun 1998, Peru; Rusia; dan Vietnam pula menyertai kerjasama ini yang menjadikan jumlah keanggotaan sebanyak 21 negara.
Pada tahun 1998, Malaysia menjadi tuan rumah kepada APEC dengan tema “Strengthening the Foundations for Growth.”
Pada tahun 2020, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada APEC dan ini merupakan acara yang bersejarah dan penting kepada Malaysia disebabkan oleh “Wawasan 2020” yang menetapkan matlamat untuk Malaysia menjadi negara perindustrian yang mampan kendiri menjelang tahun 2020. Prinsip Wawasan 2020 mengenai kemakmuran ekonomi yang seiring dengan kesejahteraan sosial adalah tepat pada masanya dan relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
Tahun 2020 juga merupakan tahun yang penting bagi APEC kerana Matlamat Bogor (Bogor Goals) yang dilancarkan pada tahun 1994 akan matang pada tahun ini. Matlamat Bogor ialah matlamat berwawasan untuk mencapai perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka di kawasan Asia-Pasifik menjelang tahun 2020.
Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan pada tahun 1959, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Dikemas kini pada tahun 2009). BNM telah diberikan mandat untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan serta memantau sistem pembayaran di Malaysia. BNM telah mengawasi pembangunan sektor kewangan yang menyeluruh, cekap dan berdaya tahan, yang menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi.
Sebagai sebahagian daripada mandatnya, BNM komited untuk mengembangkan pengawalseliaan yang mantap untuk inovasi dalam perkhidmatan kewangan, sambil memastikan risiko-risiko yang berkaitan diuruskan dengan baik. Hal ini termasuk memberikan tumpuan pada usaha meningkatkan rangkuman kewangan dalam kalangan pengguna, termasuk ekonomi jangka pendek. Maklumat lanjut mengenai Bank Negara Malaysia dan usaha-usaha pembangunannya boleh didapati di www.bnm.gov.my.
Mengenai MDEC
MDEC merupakan sebuah agensi Kerajaan di bawah pentadbiran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diberikan tanggungjawab untuk menerajui ekonomi digital Malaysia pada masa akan datang. Agensi ini ditubuhkan pada tahun 1996 untuk mengawasi kemajuan inisiatif MSC Malaysia. Mandat utama MDEC pada hari ini adalah untuk mempercepat pembangunan rakyat Malaysia yang berkemahiran digital, perniagaan yang berkuasa digital dan pelaburan digital di Malaysia. MDEC memberikan tumpuan pada pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif pendigitalan di seluruh negara yang selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Kerajaan dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.
MDEC berbangga kerana dapat turut serta dalam usaha ini dan meletakkan matlamat untuk membina ekonomi digital yang mantap dengan menegaskan perlunya pekerja sambilan dilindungi dengan baik melalui rangkuman kewangan digital. Sektor ekonomi jangka pendek dijangka dapat membentuk corak kerjaya yang baharu bagi generasi akan datang dan sektor ini akan menjadi salah satu sumber pertumbuhan ekonomi digital baharu kepada negara. Berdasarkan peluang baharu ini, MDEC akan untuk terus memperkasa rakyat Malaysia yang berkemahiran digital melalui kerjasama erat dengan rakan kongsi, perniagaan dan pengawal selia.
Mengenai Yayasan Metlife
Yayasan MetLife percaya bahawa setiap individu harus mempunyai akses kepada alat dan perkhidmatan kewangan yang betul demi masa hadapan yang lebih baik. Yayasan diberi amanah untuk meningkatkan rangkuman kewangan, bagi membantu individu dan keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang selamat dan mampu dimiliki. Sejak penubuhannya pada tahun 1976, Yayasan MetLife telah memberikan lebih daripada USD744 juta dalm bentuk geran dan USD70 juta dalam bentuk pelaburan yang berkaitan dengan program kepada organisasi yang menangani isu-isu yang mempunyai kesan positif dalam komuniti mereka. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.metlife.org.
Mengenai UNCDF
UN Capital Development Fund (UNCDF) membolehkan kewangan awam dan persendirian diakses oleh golongan kurang berkemampuan di 47 negara paling mundur di dunia. Dengan mandat dan instrumen modalnya, UNCDF menawarkan model kewangan “last-mile” yang membuka ruang sumber awam dan persendirian, terutamanya pada peringkat dalam negeri, untuk digunakan bagi mengurangkan kemiskinan dan menyokong perkembangan ekonomi setempat. Model pembiayaan UNCDF berfungsi melalui dua saluran: rangkuman kewangan yang meluaskan peluang individu, isi rumah dan perniagaan kecil untuk mengambil bahagian dalam ekonomi setempat, melalui penyediaan alat yang diperlukan untuk keluar daripada perangkap kemiskinan dan mengurus kewangan kehidupan mereka; serta melalui paparan cara pelaburan berfokus tempatan - melalui pengagihan fiskal, kewangan perbandaran yang inovatif dan kewangan projek berstruktur - mampu memacu dana awam dan swasta yang menjadi asas pengembangan ekonomi setempat dan pembangunan lestari. Dengan mengukuhkan fungsi kewangan untuk golongan kurang berkemampuan pada peringkat isi rumah, perusahaan kecil dan infrastruktur tempatan, UNCDF menyumbang kepada SDG 1 bagi membasmi kemiskinan dan SDG 17 bagi cara pelaksanaannya. UNCDF menyumbang kepada beberapa SDG berbeza, iaitu dengan mengenal pasti kesemua segmen pasaran yang mendapat impak transformasi daripada model pembiayaan inovatif yang membantu mencapai last mile serta mengatasi ketiadaan dan ketidaksamaan akses.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uncdf.org
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.