Pelancaran Pertandingan Mencipta Logo Pembiayaan Mikro di Seluruh Negara

Embargo: Untuk siaran segera
07 Mei 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan penganjuran pertandingan mencipta logo pembiayaan mikro di seluruh negara. Pertandingan selama sebulan dari 7 Mei hingga 8 Jun 2007 ini layak disertai oleh semua warga Malaysia. Penyertaan yang berjaya akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan 10 pemenang sagu hati akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia untuk mempromosikan identiti tersendiri pembiayaan mikro selain untuk memupuk kesedaran dan pemahaman yang lebih meluas mengenai pembiayaan mikro. Reka bentuk logo yang berjaya akan digunakan sebagai Logo Pembiayaan Mikro kebangsaan untuk dipaparkan di Ibu Pejabat dan Cawangan institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan mikro dan juga penyedia pembiayaan mikro yang lain. Melalui logo pembiayaan mikro yang dipaparkan di tempat-tempat tersebut, orang ramai berpeluang untuk mengetahui kewujudan serta lokasi produk-produk pembiayaan mikro. Penerima atau peminjam pembiayaan mikro juga digalakkan untuk memaparkan logo ini di premis perniagaan mereka bagi menunjukkan mereka telah berjaya mendapat pembiayaan bagi membantu pertumbuhan dan pembangunan perniagaan mereka. Butiran syarat penyertaan serta terma dan syarat pertandingan boleh didapati di Portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my).

Pembangunan industri pembiayaan mikro yang berterusan dan didorong oleh aspek komersial adalah penting bagi memastikan perusahaan mikro mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi dan berterusan untuk membantu pertumbuhan mereka. Banci Pertubuhan dan Perusahaan Tahun 2005 menunjukan bahawa 80% daripada perusahaan kecil dan sederhana merupakan perusahaan mikro, yang ditakrifkan sebagai perniagaan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja atau jualan tahunan kurang daripada RM250,000. Oleh itu, penyediaan akses kepada pembiayaan bagi kumpulan perniagaan ini oleh sistem kewangan formal amat penting bagi membuka peluang kepada mereka untuk bergiat dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.


Bank Negara Malaysia
07 Mei 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?