Pelancaran Program Keusahawanan

Embargo: Untuk siaran segera
09 Jun 2000 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran Program Keusahawanan, sebuah program khas yang dirangka bagi mempercepatkan penyelesaian masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditanggung oleh perusahawan kecil dan sederhana (SME). Program ini melengkapkan beberapa mekanisme yang telah dilaksanakan setakat ini bagi membantu SME yang terjejas semasa krisis kewangan. Mekanisme yang dimaksudkan ini termasuklah penubuhan Tabung Pemulihan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Unit Pemulihan Pinjaman di setiap institusi perbankan dan Unit Aduan dan Pemantauan Pinjaman di Bank Negara Malaysia.

Tabung Pemulihan IKS memberi tumpuan utama kepada peminjam yang mempunyai masalah NPL yang melibatkan sesebuah institusi perbankan. Program Keusahawanan ini pula bertujuan membantu peminjam yang mempunyai kemudahan kredit dengan beberapa institusi perbankan dengan memanfaatkan garis panduan penyusunan semula pinjaman yang mudah dan standard bagi mempercepatkan proses penyusunan semula pinjaman SME. Langkah ini akan membantu ke arah mencapai konsensus berhubung penyusunan semula pinjaman secara teratur. Program ini jjuga akan menyediakan mekanisme untuk menggalakkan institusi perbankan memberi kemudahan pembiayaan kepada SME yang terlibat bagi mempertingkatkan daya maju perniagaan SME dalam jjangka panjang.

Program ini bertujuan terutamanya untuk membantu SME yang terjejas semasa krisis kewangan. SME yang memenuhi kriteria berikut adalah layak untuk menyertai Program ini :

  1. SME dengan jumlah NPL di antara RM500,000 dan RM5 juta samada dengan sesebuah institusi perbankan atau sistem perbankan secara agregat. Dana pemegang saham SME berkenaan mestilah tidak melebihi RM5 juta. Subsidiari syarikat-syarikat awam yang tersenarai di bursa saham ataupun syarikat-syarikat berkaitan di mana syarikat awam yang tersenarai tersebut menyediakan jaminan korporat, adalah tidak layak;
  2. Pinjaman SME berkenaan telah diklasifikasikan sebagai NPL di antara 1 Januari 1998 dan 30 April 2000;
  3. Perniagaan mestilah dalam keadaan boleh terus beroperasi ("going concern") dan berdaya maju, iaitu, perniagaan tersebut mampu menjana aliran tunai yang mencukupi bagi membayar balik pinjaman dalam jangka masa yang dipersetujui, setelah menolak belanja operasi selepas penyusunan semula dilaksanakan;
  4. Tiada perintah pembubaran ke atas syarikat atau perintah kebankrapan ke atas pemilik/rakan kongsi. Perniagaan yang sedang berada di dalam penerimaan ("in receivership") adalah tidak layak; dan
  5. Hanya pinjaman yang berkaitan dengan perniagaan sahaja layak untuk disusun semula di bawah Program ini. Pembiayaan saham dan pinjaman untuk tujuan kepenggunaan adalah tidak layak.

Satu aspek penting Program ini adalah wujudnya pembiayaan tambahan untuk membolehkan SME meneruskan operasi perniagaan mereka. Terma utama pembiayaan baru yang disalurkan di bawah Program ini adalah seperti berikut :

  1. Kesemua pembiayaan baru adalah dihadkan tidak melebihi 30% daripada jumlah pembiayaan asal. Risiko ke atas pembiayaan baru akan ditanggung oleh Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan mengikut nisbah 70:30. Bahagian risiko yang ditanggung oleh Bank Negara Malaysia adalah dalam bentuk jaminan CGC;
  2. Tempoh maksimum bagi pembiayaan baru adalah 3 tahun dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh tersebut selama 2 tahun lagi;
  3. Kadar faedah pembiayaan yang dikenakan ke atas dana baru adalah BLR+1% setahun bagi tempoh 3 tahun pertama. Selepas tempoh tersebut, kadar pasaran akan dikenakan ke atas jumlah baki yang masih ada;
  4. Kesemua urus niaga berkaitan pinjaman baru akan dilaksanakan menerusi akaun tanpa cek ("non-checking account") yang dikendali dan diawasi oleh sebuah institusi perbankan. Institusi perbankan tersebut dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan sebarang pengeluaran dana berasaskan invois daripada pembekal; dan
  5. Semua pinjaman baru di bawah Program ini diberi kedahuluan berbanding semua pinjaman lain yang sedia ada.

Semua pinjaman baru hanya boleh digunakan bagi tujuan perniagaan sahaja. Urus niaga di antara syarikat sekumpulan adalah tidak dibenarkan. Di bawah Program ini, jumlah perlindungan jaminan yang diberikan oleh CGC adalah dihadkan kepada RM500 juta. Berdasarkan jumlah jaminan ini, sebanyak kira-kira RM715 juta pinjaman baru boleh disalurkan di bawah Program ini.

Bagi melicinkan dan mempercepatkan proses penyusunan semula pinjaman, Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan pihak industri telah merumus satu set garis panduan penyusunan semula pinjaman yang standard dan mudah bagi program ini. Garis panduan tersebut antara lainnya menetapkan, tempoh maksimum pembekuan tindakan ("standstill"), moratorium ke atas pembayaran kadar faedah dan tempoh maksimum bagi pembiayaan lama dan baru.

Sebagai tambahan, Kerajaan turut memberi sokongan yang padu ke atas Program ini dengan memberikan pengecualian duti stem ke atas semua perjanjian berhubung penyusunan semula pinjaman dan pembiayaan baru yang disalurkan di bawah Program ini.

Di samping mempermudahkan penyusunan semula dan pemulihan NPL SME, Program ini turut bertujuan untuk memupuk kesedaran yang lebih mendalam di kalangan SME mengenai aspek-aspek penting perniagaan yang kritikal dan menyediakan pendidikan mengenai pengurusan kewangan menerusi program latihan yang sistematik dan teratur. Latihan seumpama ini akan membolehkan SME mengurus dan mengendalikan perniagaan mereka dengan lebih baik di masa hadapan dan lebih peka terhadap pembagai bentuk instrumen pembiayaan yang sedia ada untuk dipadankan dengan keperluan pembiayaan mereka. Langkah ini akan menyumbang secara positif ke arah pembangunan SME dan ekonomi dalam jangka panjang. Program latihan tersebut akan merangkumi pelbagai sesi mengenai pengurusan kewangan aliran mudah tunai, latihan perakaunan berkomputer dan pembiayaan perdagangan dan instrumen pembiayaan. Kehadiran adalah diwajibkan bagi kesemua peserta di bawah Program ini. Sesi latihan ini akan dijalankan sepanjang tahun 2000.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk membantu perkembangan industri SME. SME yang mematuhi syarat kelayakan yang ditetapkan tersebut bolehlah berhubung terus dengan institusi perbankan di mana mereka mempunyai akaun NPL bagi menyertai Program ini. SME boleh mendapatkan borang permohonan dan butiran selanjutnya mengenai Program ini daripada mana-mana institusi perbankan. Semua borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar terus kepada institusi perbankan berkenaan. Program in adalah dilaksanakan serta-merta.


Bank Negara Malaysia
09 Jun 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?