Pelancaran Rangkaian Pembayaran Kod QR Rentas Sempadan antara Malaysia dengan Singapura

31 Mac 2023 Siaran Akhbar
  • DuitNow-NETS QR kini saling berhubung: Pelawat boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga untuk membuat pembayaran antara Malaysia dengan Singapura
  • Perkhidmatan pemindahan dana individu-ke-individu (person-to-person, P2P) dijangka tersedia menjelang akhir tahun

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) hari ini melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura. Jalinan pembayaran ini akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian[1] membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS[2]. Jalinan ini akan menyokong pembayaran secara bersemuka oleh pengguna melalui pengimbasan kod QR fizikal yang dipaparkan oleh peniaga serta transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

Jalinan pembayaran kod QR DuitNow-NETS merupakan pencapaian penting dalam kerjasama berterusan antara Malaysia dengan Singapura untuk meningkatkan hubungan pembayaran rentas sempadan. Dengan purata trafik tahunan sebelum pandemik sebanyak 12 juta pelawat antara kedua-dua negara, jalinan pembayaran ini akan memberikan peniaga dan pengguna suatu cara untuk membuat dan menerima bayaran dengan lebih lancar dan cekap. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk menurunkan kos serta meningkatkan kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan, sejajar dengan ASEAN Payment Connectivity Initiative dan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments.

Jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan ini direalisasikan melalui kerjasama pelbagai peserta industri dari kedua-dua negara, termasuk Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Network for Electronic Transfers (Singapore) Pte. Ltd (NETS), The Association of Banks in Singapore dan institusi kewangan yang mengambil bahagian dari kedua-dua negara.

Bagi fasa seterusnya, BNM dan MAS merancang untuk mengembangkan jalinan pembayaran ini dengan membolehkan pemindahan dana dan kiriman wang dari akaun ke akaun secara rentas sempadan. Hal ini akan membolehkan pengguna membuat pemindahan dana dalam masa nyata antara Malaysia dengan Singapura hanya menerusi nombor telefon mudah alih penerima melalui DuitNow dan PayNow. Perkhidmatan ini dijangka tersedia pada akhir tahun 2023.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata, “Pencapaian ini merupakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap dan saling berhubung kait. Jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Singapura akan memberikan manfaat kepada berjuta-juta pengguna yang berulang-alik menggunakan Tambak Johor (Causeway) serta pelawat yang mempunyai urusan perniagaan dan percutian. Jalinan ini juga akan merangsang perniagaan runcit di kedua-dua negara. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan usaha sama kami untuk mempercepat agenda pendigitalan ke arah penyepaduan ekonomi dan kewangan serantau yang lebih mantap.”

Pengarah Urusan Monetary Authority of Singapore, Encik Ravi Menon, berkata, “Jalinan pembayaran kod QR DuitNow-NETS ialah tambahan terkini kepada rangkaian pembayaran rentas sempadan Singapura yang semakin berkembang. Jalinan ini akan membantu merangsang perdagangan rentas sempadan dan membolehkan peniaga, terutamanya perniagaan kecil, untuk memanfaatkan kumpulan pengguna yang lebih luas. Jalinan kod QR antara Singapura dengan Malaysia ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan ASEAN ke arah kesalinghubungan pembayaran serantau yang lancar.”

Bank Negara Malaysia
Monetary Authority of Singapore
31 Mac 2023

[1] Institusi kewangan Malaysia yang mengambil bahagian ialah AmBank Malaysia Berhad, Boost, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad, Razer Merchant Services Sdn. Bhd., TNG Digital Sdn. Bhd. dan United Overseas Bank Malaysia Berhad. Institusi kewangan Singapura yang mengambil bahagian ialah DBS Bank, OCBC Bank dan UOB. (Setakat 31 Mac 2023).

[2] DuitNow QR ialah penyelesaian kod QR nasional di Malaysia yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). NETS QR ialah penyelesaian kod QR yang dikendalikan oleh rangkaian pembayaran elektronik Singapura, NETS. DuitNow QR dan NETS QR membolehkan peniaga menerima bayaran daripada pelanggan bank dan pengendali e-dompet berbeza yang mengambil bahagian dengan menggunakan kod QR yang seragam.


Bank Negara Malaysia
31 Mac 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?