Pelancaran Rasmi Fasa 2 Jalinan Pembayaran QR Rentas Sempadan antara Malaysia dengan Kemboja

08 Apr 2025 Siaran Akhbar

Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), dan Puan Yang Terutama Dr. Chea Serey, Gabenor National Bank of Cambodia (NBC), hari ini melancarkan fasa 2 jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja. Menerusi peluasan jalinan ini, pengguna dari Malaysia kini boleh membuat pembayaran secara segera kepada peniaga di Kemboja dengan mengimbas KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih milik institusi kewangan peserta. Pengguna dari Kemboja yang mengunjungi Malaysia juga boleh terus membuat pembayaran menggunakan aplikasi Bakong dengan mengimbas DuitNow QR Malaysia, iaitu ciri yang telah diperkenalkan dalam fasa 1.

Lebih tujuh juta peniaga tempatan di Malaysia dan Kemboja akan mendapat akses kepada bilangan pengguna yang lebih meluas, lantas memberikan manfaat kepada ekonomi kedua-dua buah negara. Pengguna juga boleh mengakses pembayaran rentas sempadan secara segera melalui aplikasi pembayaran tempatan tanpa sebarang kesulitan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kami berbesar hati untuk memajukan lagi visi kesalinghubungan pembayaran yang lebih mantap dalam rantau ini melalui fasa terbaharu jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Kemboja. Banyak perniagaan kecil dan individu di seluruh ASEAN dijangka dapat meraih manfaat daripada pembayaran QR rentas sempadan secara segera. Hal ini akan terus menyokong integrasi kewangan yang lebih mendalam merentas ekonomi ASEAN. BNM akan terus memperluas jangkauan jalinan pembayaran dengan rakan serantau dan antarabangsa untuk membentuk rangkaian kesalinghubungan pembayaran yang inklusif dan selamat.”

Gabenor National Bank of Cambodia Puan Yang Terutama Dr. Chea Serey berkata, "Kemajuan ini bukan sahaja mempermudah transaksi rentas sempadan, malah membuka potensi yang besar untuk: (i) pelancongan, dengan menawarkan pembayaran yang mudah kepada pengguna Malaysia di Kemboja, (ii) rangkuman kewangan, dengan menghubungkan PKS serta individu kepada rangkaian ekonomi yang lebih meluas, dan (iii) integrasi serantau, dengan memajukan visi ASEAN untuk memupuk komuniti yang saling berkait secara digital. Inisiatif ini lebih daripada sekadar pencapaian teknikal, malah melambangkan satu jalinan yang mengeratkan budaya, ekonomi serta rakyat Malaysia dan Kemboja. Langkah ini mencerminkan komitmen NBC untuk memanfaatkan teknologi ke arah pertumbuhan yang berdaya tahan dan inklusif, serta memastikan bahawa semua peniaga, termasuk peniaga kecil di Kemboja atau Malaysia dapat mengambil bahagian dalam ekonomi digital global."

BNM dan NBC bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan untuk membolehkan jalinan pembayaran QR dua hala ini. Rakan kongsi ini termasuk Maybank sebagai bank penaja dan bank penyelesaian, Payments Network Malaysia (PayNet) serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara.

Jalinan pembayaran QR dua hala ini sejajar dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments. Jalinan ini juga menyokong keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia di bawah tema "Keterangkuman dan Kelestarian". Pelancaran ini berlangsung di Kuala Lumpur sebagai acara sampingan di Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (ASEAN Finance Ministers’ and Central Bank Governors’ Meeting).

Bank Negara Malaysia
National Bank of Cambodia

8 April 2025


Bank Negara Malaysia
08 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?