Pelantikan Anggota Baharu Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Timbalan Gabenor Encik Abdul Rasheed Ghaffour, Datuk Johan Idris dan Puan Yoong Sin Min sebagai ahli baharu Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (Jawatankuasa Eksekutif). Datuk Johan dan Puan Yoong akan berperanan sebagai pakar luar untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 3 November 2016 susulan peletakan jawatan dan tamat tempoh keanggotaan pakar luar sebelum ini. Pelantikan ini adalah selaras dengan Seksyen 37(2) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Jawatankuasa Eksekutif diberikan kuasa di bawah Akta Bank Negara Malaysia untuk membuat keputusan mengenai langkah-langkah tertentu yang boleh diambil oleh Bank Negara Malaysia bagi menghindari atau mengurangkan risiko terhadap kestabilan kewangan. Langkah-langkah ini ialah:
- apa-apa arahan untuk mengambil langkah-langkah tertentu yang dikeluarkan kepada individu atau institusi kewangan yang tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia;
- pemberian bantuan mudah tunai kepada operasi luar negeri institusi kewangan berlesen di Malaysia; dan
- peruntukan sokongan modal kepada institusi kewangan berlesen di Malaysia yang tidak berdaya maju.
Jawatankuasa Eksekutif terdiri daripada tujuh ahli, majoriti daripada mereka ialah ahli bukan eksekutif yang tidak terlibat dengan pengurusan Bank Negara Malaysia.
Jawatankuasa Eksekutif berperanan untuk memperkukuh rangka kerja akauntabiliti bagi pelaksanaan kuasa kestabilan kewangan yang lebih luas yang diberikan kepada Bank Negara Malaysia di bawah Akta Bank Negara Malaysia. Jawatankuasa Eksekutif bertindak untuk memastikan langkah-langkah yang dicadangkan dalam bidang kuasanya adalah wajar bagi menangani risiko terhadap kestabilan kewangan yang telah dikenal pasti.
Dengan pelantikan baharu ini, ahli semasa Jawatankuasa Eksekutif ialah:
- Gabenor Datuk Muhammad bin Ibrahim (Pengerusi)
- Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan
- Tan Sri Dato' Seri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
- Encik Jean Pierre Sabourin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia
- Timbalan Gabenor Encik Abdul Rasheed Ghaffour
- Datuk Johan Idris
- Puan Yoong Sin Min
Bank Negara Malaysia
28 November 2016
Profil ahli baharu Jawatankuasa Eksekutif Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia:
Timbalan Gabenor Encik Abdul Rasheed Ghaffour
Encik Abdul Rasheed Ghaffour merupakan Timbalan Gebanor yang bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran, pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang serta pentadbiran pertukaran asing. Beliau ialah ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia. Encik Abdul Rasheed berpengalaman luas dalam inisiatif integrasi serantau. Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan perumusan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020).
Datuk Johan Idris
Datuk Johan Idris ialah Rakan Pengurusan KPMG dan mantan terkini Presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA). Beliau merupakan ahli Exco Majlis Mesyuarat Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Felo Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan ahli MIA. Datuk Johan mempengerusikan jawatankuasa kecil MIA iaitu Integrated Reporting Steering Committee dan ialah ahli Panel Pembangunan Profesional Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Sebagai Alumni University Putra Malaysia, beliau merupakan ketua projek piawaian perakaunan bagi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan kini ahli Lembaga Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) yang mempromosikan pusat kecemerlangan perakaunan profesional.
Puan Yoong Sin Min
Puan Yoong Sin Min merupakan peguam di Malaysia dan Singapura. Beliau merupakan pihak yang membuat litigasi (litigator) dalam pertikaian sivil dan mempunyai kepakaran dalam bidang litigasi perbankan dan kewangan. Puan Yoong mempunyai pengalaman luas dalam isu sektor kewangan (termasuk hal-hal berkaitan dengan kewangan Islam, sekuriti hutang swasta, perbankan pelaburan, penerimaan dan insolvensi) dan pengurusan krisis kewangan (termasuk pemerolehan pinjaman tidak berbayar oleh syarikat-syarikat Kumpulan Danaharta, Prokhas Berhad). Puan Yoong ialah rakan kongsi kanan firma guaman Messrs Shook Lin & Bok dan anggota majlis mesyuarat Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (Insolvency Practitioners Association of Malaysia, IPAM).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.