Pelantikan Anggota Luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelantikan Encik Lim Chee Sing sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC). Tempoh pelantikan ini adalah selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Encik Lim Chee Sing
Encik Lim berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi RHB Research Institute Sdn Bhd dari tahun 2013 hingga 2017. Beliau juga merupakan Ketua Ekonomi RHB Banking Group dan ahli strategi pasaran ekuiti untuk pasaran Malaysia di RHB Research Institute. Encik Lim memulakan kerjaya beliau sebagai ahli ekonomi di BNM pada tahun 1981 selama hampir sebelas tahun. Selepas itu, beliau menyertai RHB Research Institute sebagai ahli ekonomi serantau dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyelidik. Encik Lim berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.
BNM juga ingin mengumumkan bahawa Dato’ Dr. Gan Wee Beng akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai anggota luar MPC pada 1 April 2022. Beliau telah berkhidmat sebagai anggota luar MPC sejak 1 April 2019.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “Saya mengalu-alukan kehadiran Encik Lim sebagai anggota MPC yang akan menyumbangkan pelbagai kepakaran dan pengalaman. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Dr. Gan atas sumbangan beliau terhadap perumusan dasar monetari Bank sepanjang tiga tahun lepas. Kami berharap beliau terus berjaya dalam apa-apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan.”
Mengenai MPC
Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Central Bank of Malaysia Act, CBA 2009), MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. CBA 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar MPC.
Anggota MPC:
- Gabenor Nor Shamsiah Mohd Yunus
- Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
- Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian
- Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
- Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz
- Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
- Dato’ Dr. Gan Wee Beng (anggota sehingga 1 April 2022)
- Encik Nor Zahidi Alias
- Encik Lim Chee Sing
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.