Pelantikan Baharu dan Persaraan Timbalan Gabenor serta Pelantikan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Encik Aznan bin Abdul Aziz sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April 2025.
Sebagai Timbalan Gabenor, Encik Aznan akan memantau sektor penyeliaan dan pengawalan. Beliau akan menjadi ahli Lembaga Pengarah BNM dan Jawatankuasa Dasar Monetari. Encik Aznan juga akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Dasar Bersama, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Digital dan Teknologi serta Jawatankuasa Pengurusan Krisis.
Encik Aznan merupakan pemegang Ijazah Ekonomi dan Perakaunan daripada University of Bristol, United Kingdom. Pada masa ini, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga bagi International Islamic Liquidity Management Corporation, ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa Audit dan Risiko Lembaga bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi International Association of Insurance Supervisors dan ahli ex officio bagi Yayasan Laporan Kewangan (Financial Reporting Foundation).
BNM juga ingin mengumumkan pelantikan Datuk Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penasihat Teknikal berkaitan hal ehwal kestabilan kewangan berikutan persaraan beliau daripada BNM.
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Bagi pihak BNM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jessica atas sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara. Datuk Jessica sentiasa memberikan sokongan dan pandangan yang bernas sepanjang perkhidmatan beliau selama 34 tahun demi mencapai mandat strategik BNM dan kecemerlangan organisasi. Saya juga menghargai kesediaan beliau untuk terus menyokong BNM dalam bidang teknikal yang berkaitan dengan kestabilan kewangan.”
Berikutan pelantikan Encik Aznan sebagai Timbalan Gabenor, BNM juga mengumumkan pelantikan Puan Cindy Siah Hooi Hoon sebagai Penolong Gabenor.
Puan Cindy akan bertanggungjawab ke atas jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi serta Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran.
Sebelum pelantikan ini, Puan Cindy pernah berkhidmat di Jabatan Dasar Kewangan Pruden dan Jabatan Penyeliaan Perbankan. Beliau ditauliahkan sebagai Fellow of the Association of Chartered Certified Accountants dan Chartered Financial Analyst. Puan Cindy juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan daripada University of Warwick, United Kingdom.
Aznan bin Abdul Aziz
Cindy Siah Hooi Hoon
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.