Pelantikan Dato' Muhammad Ibrahim sebagai Timbalan Gabenor, Dato' Ooi Sang Kuang sebagai Penasihat Khas dan Puan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1715 pada Selasa, 15 Jun 2010
15 Jun 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Dato' Muhammad Ibrahim sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Jun 2010, dan Dato' Ooi Sang Kuang sebagai Penasihat Khas untuk tempoh setahun sebaik tamat tempoh perkhidmatan beliau sebagai Timbalan Gabenor selama lapan tahun. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga ingin mengumumkan pelantikan Puan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penolong Gabenor untuk sektor pengawalseliaan berkuat kuasa 16 Jun 2010.

Dato' Muhammad memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 dan telah berkhidmat dalam bidang pengawalan dan penyeliaan bank, perancangan strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan dan perbendaharaan luar pesisir serta pasaran kewangan. Dato' Muhammad pernah menjadi Pengarah Urusan Danamodal Nasional Berhad, iaitu agensi permodalan semula bank yang ditubuhkan semasa krisis kewangan Asia. Beliau juga merupakan mantan pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai ahli majlis Malaysian Institute of Accountants. Beliau berkelulusan ijazah sarjana daripada Universiti Harvard, ijazah perakaunan daripada Universiti Malaya dan diploma pascaijazah dalam Kewangan dan Perbankan Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dato' Muhammad juga merupakan pemegang amanah Majlis Kursi Tun Ismail Ali, ahli lembaga pengarah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), ahli majlis Malaysian Bankers Institute, Felo Bersekutu Institut Bank-Bank Malaysia dan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia. Beliau juga merupakan pengarah bebas dalam lembaga pengarah PETRONAS.

Sebagai Penasihat Khas, Dato' Ooi Sang Kuang akan bertanggungjawab dalam bidang kerjasama kewangan serantau dan antarabangsa termasuk pembangunan infrastruktur kewangan bagi memperkukuh integrasi serantau dan antarabangsa. Selain itu, Dato' Ooi juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Cagamas Berhad (Perbadanan Gadai Janji Nasional) dan Perbadanan Penjelasan Elektronik Malaysia Sdn. Bhd. (MyClear). Dato' Ooi merupakan Anggota Felo Institut Bank-Bank Malaysia dan ahli Lembaga Pusat Penyelidikan dan Latihan SEACEN. Sebelum berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia pada tahun 2002, Dato' Ooi pernah memegang banyak jawatan penting dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Puan Jessica yang memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada tahun 1993 telah berkhidmat dalam pelbagai bidang tugasan. Beliau telah memberikan sumbangan yang penting dalam perumusan dasar kehematan dan strategik untuk sektor perbankan dan insurans serta terlibat dalam penyediaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan perumusan strategi liberalisasi sektor kewangan sebagai sebahagian daripada proses rundingan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan Perdagangan Bebas. Beliau juga terlibat dalam pembentukan sistem insurans deposit di Malaysia dan perumusan strategi pembangunan modal insan untuk sektor kewangan. Puan Jessica mempunyai ijazah Sarjana Muda Perdagangan dengan pengkhususan dalam perakaunan dan kewangan daripada University of Melbourne, Australia. Sebelum dilantik sebagai Penolong Gabenor, Puan Jessica merupakan Pengarah Jabatan Dasar Kewangan Pruden. Selain itu, beliau juga merupakan ahli penasihat Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan ahli Governance and Compliance Subcommittee of the International Association of Insurance Supervisors.

Dengan pelantikan Puan Jessica sebagai Penolong Gabenor, Encik Mohd Zabidi dilantik sebagai Pengarah Jabatan Dasar Kewangan Pruden. Encik Mohd Zabidi mula berkhidmat di Bank Negara Malaysia pada tahun 1995 dan turut memainkan peranan dalam perumusan dasar bagi sektor pengawalseliaan. Beliau mempunyai ijazah Perakaunan dan Kewangan daripada London School of Economics dan merupakan Felo Chartered Certified Accountant dan ahli Malaysian Institute of Accountants.

Timbalan Gabenor, Dato' Muhammad bin Ibrahim

 

Penasihat Khas, Dato' Ooi Sang Kuang

 

Penolong Gabenor, Puan Jessica Chew Cheng Lian


Bank Negara Malaysia
15 Jun 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?