Pelantikan Dato' Razif sebagai Timbalan Gabenor dan Pelanjutan Tempoh Perkhidmatan Dato' Ooi dan Datuk Zamani
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa YAB Menteri Kewangan telah bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan Dato' Ooi Sang Kuang dan Datuk Zamani Abdul Ghani sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia selama tiga tahun lagi. Tempoh perkhidmatan Dato' Ooi sebagai Timbalan Gabenor untuk penggal ketiga akan berkuatkuasa pada 16 Jun 2006, sementara tempoh perkhidmatan Datuk Zamani bagi penggal kedua telah berkuatkuasa pada 15 Mei 2006.
YAB Menteri Kewangan juga bersetuju untuk pelantikan Dato' Mohd Razif Abdul Kadir sebagai Timbalan Gabenor bagi tempoh perkhidmatan selama tiga tahun, berkuatkuasa pada 1 Jun 2006. Sebelum pelantikan beliau, Dato' Razif ialah Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia semenjak tahun 1999 dan beliau bertanggungjawab terhadap pengawalan dan pembangunan sektor perbankan dan insurans, perbankan Islam dan Takaful, institusi kewangan pembangunan, dan perusahaan kecil dan sederhana. Beliau juga bertanggungjawab mengawasi pengurusan risiko dalaman Bank Negara Malaysia.
Dato' Razif juga telah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam IFSB) yang pertama. Beliau kini ialah ahli Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
Dato' Razif mula bertugas di Bank Negara Malaysia pada tahun 1976 dan telah memegang beberapa jawatan kanan dalam Bank. Beliau merupakan Ketua Perwakilan Pejabat Perwakilan Bank Negara Malaysia London dan Pengarah Jabatan Pengawalan Bank. Dato' Razif ialah Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) dari tahun 1999 hingga 2001.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.