Pelantikan dua Ahli Baharu Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (Bank) ingin mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Dr. Yeah Kim Leng sebagai ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia dari luar Bank untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 April 2015. Pelantikan ini selaras dengan enakmen Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang memperuntukkan pelantikan ahli dari luar Bank dalam Jawatankuasa Dasar Monetari. Jawatankuasa Dasar Monetari bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan juga dasar bagi pengendalian operasi dasar monetari. Dasar monetari dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh Bank Negara Malaysia, seperti yang dimandatkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali
Datuk Dr. Noor Azlan merupakan Naib Canselor dan Profesor Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya di Universiti tersebut sejak lebih 20 tahun yang lalu sebagai pensyarah. Datuk Dr. Noor Azlan membuat pengkhususan dalam bidang ekonomi perniagaan dan kewangan. Beliau juga pernah dipinjamkan untuk bertugas di Jabatan Perdana Menteri (2006-2009) dan menyandang beberapa jawatan, termasuk sebagai Ketua Pasukan Perunding Khas mengenai Globalisasi untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (Malaysian Development Institute, MDI) di Unit Perancang Ekonomi. Datuk Dr. Noor Azlan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) daripada Universiti Harvard.

Dr. Yeah Kim Leng
Dr. Yeah Kim Leng merupakan Dekan Sekolah Perniagaan, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia. Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Ekonomi Kumpulan di RAM Holdings Bhd. dan telah berkhidmat selama dua dekad (1994-2014). Sebelum berkhidmat di RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah merupakan penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Institute of Strategic and International Studies, ISIS) Malaysia. Dr. Yeah memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pertanian dan Ekonomi Sumber serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hawaii, Amerika Syarikat.
Pelantikan Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Dr. Yeah Kim Leng akan mempertingkat kepakaran dan pengalaman kolektif yang berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari kini mempunyai 10 orang ahli.
Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari
- Gabenor Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi
- Timbalan Gabenor Dato' Muhammad bin Ibrahim
- Timbalan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
- Timbalan Gabenor Dr. Sukudhew Singh
- Penolong Gabenor Bakarudin bin Ishak
- Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz
- Penolong Gabenor Abu Hassan Alshari bin Yahaya
- Penolong Gabenor Marzunisham bin Omar
- Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali
- Dr. Yeah Kim Leng
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.