Pelantikan Dua Anggota Luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia

Embargo: Untuk siaran segera
29 Apr 2019 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan semula Profesor Dr. Yeah Kim Leng dan pelantikan baharu Dato’ Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia berkuat kuasa pada 1 April 2019. Akta Bank Negara Malaysia 2009 memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari. Tempoh pelantikan semula bagi Profesor Dr. Yeah Kim Leng sebagai anggota Jawatankuasa Dasar Monetari adalah selama satu tahun manakala tempoh pelantikan bagi Dato’ Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota baharu Jawatankuasa Dasar Monetari adalah selama dua tahun.

Jawatankuasa Dasar Monetari bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan polisi bagi pengendalian operasi dasar monetari. Dasar monetari dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi oleh Bank Negara Malaysia, seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Professor Dr. Yeah Kim Leng

Dr. Yeah Kim Leng ialah Profesor Ekonomi di Sunway University Business School dan pernah berkhidmat sebagai Dekan Sekolah Perniagaan di Malaysia University of Science and Technology. Beliau juga merupakan Pengarah bagi Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, Felo Kanan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development di Sunway University dan Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia. Sebelum ini, Dr. Yeah pernah memegang jawatan Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan di RAM Holdings Bhd, dan berkhidmat di sana selama dua dekad. Sebelum bertugas di RAM, beliau ialah seorang penganalisis kanan di Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia. Dr. Yeah berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Pertanian dan Sumber dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hawaii, AS.

Dato’ Dr. Gan Wee Beng

Dato' Dr. Gan Wee Beng kini merupakan Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan telah menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities Bhd. Sebelum ini, beliau merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi, Monetary Authority of Singapore, dan perunding kepada World Bank, International Labour Organisation dan Bank Negara Malaysia. Beliau juga pernah menjadi Felo Penyelidikan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia. Dato’ Dr. Gan berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dari University of Pennsylvania, USA dan Sarjana Sains (MSc) dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.

Pelantikan semula Profesor Dr. Yeah Kim Leng dan pelantikan baharu Dato’ Dr. Gan Wee Beng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman secara kolektif yang berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai oleh tujuh orang ahli.

Anggota Jawatankuasa Dasar Monetari

  1. Governor Nor Shamsiah Yunus
  2. Deputy Governor Abdul Rasheed Ghaffour
  3. Deputy Governor Jessica Chew Cheng Lian
  4. Assistant Governor Norzila Abdul Aziz
  5. Assistant Governor Marzunisham Omar
  6. Professor Dr. Yeah Kim Leng
  7. Dato’ Dr. Gan Wee Beng

 


Bank Negara Malaysia
29 April 2019

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?