Pelantikan Dua Anggota Luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Encik Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula Dato’ Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia untuk tempoh dua tahun, masing-masing berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 dan 1 April 2021.
Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. Akta Bank Negara Malaysia 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari.

Encik Nor Zahidi Alias
Encik Nor Zahidi Alias ialah mantan Ketua Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC). Pada peringkat awal kerjayanya, beliau berkhidmat di The New Straits Times Press (M) Berhad sebagai penganalisis kanan sebelum menyertai Kuala Lumpur City Securities sebagai ahli ekonomi. Sebelum bertugas di MARC, beliau merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance. Encik Nor Zahidi berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University.

Dato’ Dr. Gan Wee Beng
Dato' Dr. Gan Wee Beng merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari sejak 1 April 2019. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan telah menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk sebagai Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities. Sebelum ini, beliau merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi, Monetary Authority of Singapore, dan perunding kepada Bank Dunia dan International Labour Organisation. Beliau juga pernah menjadi Felow Penyelidikan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia. Dato’ Dr. Gan berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, serta Sarjana dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Pelantikan Encik Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula Dato’ Dr. Gan Wee Beng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai lapan orang ahli.
Anggota Jawatankuasa Dasar Monetari
- Gabenor Nor Shamsiah Yunus
- Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
- Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian
- Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
- Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz
- Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
- Dato’ Dr. Gan Wee Beng
- Encik Nor Zahidi Alias
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.