Pelantikan DYTM Raja Nazrin Shah sebagai Duta Kewangan MIFC

Embargo: Untuk siaran segera
03 Apr 2007 Siaran Akhbar

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan telah berkenan menerima undangan sebagai Duta Kewangan bagi inisiatif MIFC antarabangsa.

Duta Kewangan berperanan menyokong MIFC melalui peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dengan pemimpin-pemimpin negara, ketua-ketua industri dan pembuat keputusan utama bagi komuniti kewangan global, terutama dari negara-negara Timur Tengah.

Duli Yang Teramat Mulia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford, United Kingdom, Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam daripada Kennedy School of Government, Universiti Harvard, dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Ekonomi Politik dan Kerajaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kedudukan kehormat yang disandang Baginda pada masa ini termasuk Pro-Canselor Universiti Malaya, Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Presiden Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak.

MIFC memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan proses mengeratkan dan mengukuhkan hubungan pasaran-pasaran kewangan Islam antarabangsa, dan dengan itu, dapat mengembangkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara Timur Tengah, Asia Barat dan Afrika Utara dengan Asia Timur. Jawatankuasa Eksekutif MIFC ditubuhkan pada pertengahan tahun 2006 bagi menyediakan hala tuju strategik, mengawasi penjajaran peranan dan tanggungjawab pihak berkepentingan dan memacu pelaksanaan dasar dan strategi ke arah pencapaian agenda nasional bagi menempatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa yang terulung.


Bank Negara Malaysia
03 April 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?