Pelantikan Encik Agil Natt sebagai Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Encik Agil Natt sebagai Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF berkuat kuasa 1 Julai 2006. Encik Agil Natt mempunyai pengalaman yang luas dalam industri perkhidmatan kewangan dan mempunyai karier yang cemerlang dalam sektor itu. Peranan beliau penting untuk menjadikan INCEIF sebagai pusat kecemerlangan global bagi pendidikan kewangan Islam yang terkemuka. INCEIF ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Disember 2005 untuk menyumbang ke arah pembangunan global modal insan, bakat dan profesional yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri kewangan Islam global pada masa hadapan.
Encik Agil Natt pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam bidang perbankan pelaburan dan kewangan korporat sepanjang karier beliau yang lama dalam industri perkhidmatan kewangan. Sebelum menyertai INCEIF, Encik Agil Natt ialah Pengarah Eksekutif dan Timbalan Presiden Malayan Banking Berhad. Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan dalam kumpulan Maybank termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Aseambankers Malaysia Berhad dan Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburan di Maybank. Dari tahun 1990 hingga 1995, Encik Agil merupakan Ketua Perwakilan Serantau Kleinwort Benson Ltd.
Encik Agil Natt memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi (Kepujian) dari Brunel University, United Kingdom dan Sarjana Sains dalam Kewangan dari City University, London. Beliau juga telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.